Edaran raih kontrak bernilai RM356.56 juta sedia perkakasan dan perisian kerangka utama Sistem Maklumat Kastam | DagangNews Skip to main content

Edaran raih kontrak bernilai RM356.56 juta sedia perkakasan dan perisian kerangka utama Sistem Maklumat Kastam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jan - Edaran Berhad menerusi Edaran IT Services Sdn. Bhd. berjaya meraih kontrak bernilai RM356.56 juta daripada Kementerian Kewangan Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan sewaan perkakasan dan perisian kerangka utama Sistem Maklumat Kastam (SMK) bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, Edaran IT menerima Surat Anugerah bertarikh 22 Disember 2023 berkenaan dengan kontrak tersebut pada 2 Januari 2024.

 

"Kontrak berkenaan adalah selama 48 bulan bermula 1 Januari 2024," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Hasil daripada kontrak itu akan menyumbang kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 hingga 30 Jun 2028.

 

Katanya, tiada risiko yang ketara berhubung dengan kontrak itu.

 

"Tiada pengarah dan pemegang saham utama Edaran dan Edaran IT mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan kontrak itu," katanya. - DagangNews.com