KUALA LUMPUR 1 Sept - UEM Edgenta Bhd akan memperkukuhkan perniagaannya dengan tumpuan dalam tiga tonggak utama untuk menjadi syarikat penyelesaian teknologi dengan fokus dalam penjagaan kesihatan menjelang 2025.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin, berkata tiga tonggak utama itu ialah pengembangan dan mengukuhkan kehadiran dalam pangkalan penyelesaian; mengekstrak nilai perniagaan utama dan mempertingkatkan produk serta cadangan teknologi.
Beliau berkata, ekosistem digital yang dilancarkan baru-baru ini, Edgenta NXT dijangka menjadi pemacu pertumbuhan sejajar dengan penerokaan syarikat itu dalam perniagaan teknologi dan menjadi sebahagian visinya, 'Edgenta of the Future 2025' (EoTF2025).
Katanya, platform teknologi seperti penyelesaian penjagaan kesihatan digital, infrastruktur dan pengurusan kemudahan pintar oleh Edgenta NXT akan memacu aliran pendapatan baharu di samping mengubah cadangan nilai dalam ruang pengurusan kemudahan dan penjagaan kesihatan bersepadu.
"Kami optimis terhadap tempahan kontrak dalam tempoh tiga hingga lima tahun. Edgenta NXT adalah fasa pertumbuhan selanjutnya bagi kami menerusi produk baharu dan pengembangan pasaran.
"Kami juga menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan jangka panjang dengan mengembangkan kehadiran di Arab Saudi dan meningkatkan rantaian nilai dalam pasaran sedia ada di Singapura dan Taiwan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya mengulas mengenai strategi pengembangan UEM Edgenta hari ini, lapor Berita Harian.
Syahrunizam berkata, UEM Edgenta juga mempunyai tempahan kontrak yang utuh sebanyak RM11.6 bilion setakat 30 Jun 2021, dengan kontrak baharu yang diperoleh bagi tahun kewangan 2021 setakat ini berjumlah lebih RM700 juta.
Beliau berkata, kontrak yang kukuh itu meletakkan anak syarikat UEM Group berkenaan dalam kedudukan yang baik untuk menyediakan tawaran lebih mampan dan mempunyai aliran pendapatan jangka panjang yang mantap, sekali gus membolehkannya mengukuhkan kehadiran di peringkat global.
Katanya, syarikat menyasarkan pertumbuhan pendapatan jangka panjang sebanyak 12% setahun dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021, UEM Edgenta mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM6.13 juta berbanding kerugian bersih RM26.91 juta pada suku sama tahun lalu.
Sementara itu, pendapatannya meningkat kepada RM538.6 juta berbanding RM448.47 juta sebelumnya. - DagangNews.com