Eduspec peroleh kontrak RM10 juta laksana khidmat ujian bebas modul optik 5G | DagangNews Skip to main content

Eduspec peroleh kontrak RM10 juta laksana khidmat ujian bebas modul optik 5G

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Eduspec Holdings Berhad telah memperoleh kontrak RM10 juta bagi melaksanakan perkhidmatan ujian bebas untuk modul optik 5G dan komponen lain yang berkaitan.

 

Menurut makluman Eduspec kepada Bursa Malaysia hari ini, anak syarikatnya, Eduspec Technology Sdn Bhd (ETSB) menerima surat anugerah (LOA) bagi projek tersebut daripada SMT Technologies Sdn Bhd (SMTT), iaitu anak syarikat EG Industries Berhad.

 

Aktiviti utama SMTT adalah penyediaan elektronik, perkhidmatan pembuatan untuk peranti komputer, produk elektronik/elektrik pengguna dan pengeluaran topeng muka penapisan tinggi.

 

Kumpulan itu berkata di bawah kontrak terbabit, ETSB dikehendaki bertanggungjawab untuk melakukan pelbagai ujian fungsian bebas, termasuk menguji dan mengesahkan pemasangan papan litar bercetak optik 5G serta komponen dan produk lain yang berkaitan.

 

Ia menjelaskan bahawa nilai kontrak itu perlu dibayar secara berperingkat, sepadan dengan setiap kumpulan kerja yang dilakukan dan akan ditunjukkan dalam tempahan pembelian dari semasa ke semasa.

 

Tarikh permulaan kontrak adalah pada 22 Disember 2023 dan disasarkan siap dalam tempoh sehingga enam bulan.

 

“LOA dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.

 

“Bagaimanapun, ia dijangka mempunyai sumbangan positif kepada pendapatan dan pendapatan sesaham, serta aset dan penggearan bersih kumpulanm” katanya.

 

Eduspec berkata ia berhasrat untuk membiayai komitmen tersebut melalui dana yang dijana secara dalaman dan/atau latihan penjanaan dana, yang jika dilaksanakan, butirannya akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

Saham Eduspec ditutup tinggi 0.5 sen atau 6.3% kepada 8.5 sen hari ini, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM90.6 juta.  - DagangNews.com