Eduspec raih kontrak tambahan bernilai RM30 juta bagi laksana ujian bebas modul optik 5G | DagangNews Skip to main content

Eduspec raih kontrak tambahan bernilai RM30 juta bagi laksana ujian bebas modul optik 5G

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - Eduspec Holdings Bhd menerusi Eduspec Technology Sdn Bhd menerima kontrak tambahan bernilai RM30 juta daripada SMT Technologies Sdn Bhd bagi melaksanakan perkhidmatan ujian bebas untuk modul optik 5G serta komponen berkaitan.

 

Kumpulan itu berkata, menerusi kontrak itu mereka perlu melaksanakan pelbagai ujian fungsi bebas termasuk menguji serta mengesahkan pemasangan papan litar bercetak (PCBA) dan komponen serta produk lain yang berkaitan.

 

"Kontrak itu adalah selama 12 bulan bermula 1 April 2024," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, menerusi perjanjian itu juga, SMT Technologies perlu menyediakan ruang eksklusif di kilangnya yang terletak di Sungai Petani kepada Eduspec Technology bagi menjalankan perkhidmatan ujian dengan bayaran sewa RM70,000 sebulan.

 

Eduspec juga perlu melabur dalam peralatan yang diperlukan untuk menyokong jumlah produk yang disediakan selain perlu menugaskan tenaga kerja yang mencukupi serta berpengalaman, termasuk ketua kejuruteraan, jurutera dan juruteknik serta sumber pengurusan lain untuk melaksanakan perkhidmatan tersebut.

 

"Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan disatukan dan pendapatan sesaham, aset bersih dan penggearan kumpulan.

 

"Kumpulan berhasrat untuk membiayai kontrak itu menerusi dana yang dijana secara dalaman dan/atau pengumpulan dana, yang mana jika dilaksanakan, butirannya akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.- DagangNews.com