Ekonomi Brunei diunjur berkembang 2.8% pada 2023 dipacu sektor bukan minyak dan gas | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Brunei diunjur berkembang 2.8% pada 2023 dipacu sektor bukan minyak dan gas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mei - Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) mengunjurkan ekonomi Brunei berkembang sebanyak 2.8% pada 2023 berbanding penguncupan sebanyak -1.2% pada tahun lalu dipacu oleh sektor bukan minyak dan gas (O&G), khususnya dalam sektor perkhidmatan.

 

Firma itu berkata, negara itu telah mendapat manfaat daripada pendapatan O&G yang lebih tinggi, membantu memperbaiki kedudukan luaran dan memulihkan penampan fiskal.

 

Katanya, kepelbagaian berterusan dalam sektor bukan O&G, dan pembaharuan struktur yang lebih pantas, akan membantu memupuk daya tahan dan meletakkan ekonomi pada lebih kukuh bagi jangka panjang.

 

"Perubahan bekalan gas domestik kepada aktiviti hiliran serta pemulihan dalam sektor perkhidmatan telah menyumbang kepada prestasi yang lebih kukuh bagi sektor bukan O&G," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

AMRO berata, pertumbuhan yang lemah pada 2022 mencerminkan kemerosotan yang tidak dijangka dalam pengeluaran O&G huluan pada separuh pertama tahun itu.

 

amro
Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3

 

Katanya, penguncupan pengeluaran O&G sudah berkurangan, tetapi penambahbaikan berterusan di lapangan O&G luar pesisir dijangka terus memberikan kesan negatif terhadap pertumbuhan.

 

AMRO berkata, risiko terhadap prospek negara itu kekal mencabar akibat ketidaktentuan tinggi yang berterusan dalam pasaran tenaga global dan kebimbangan mengenai pertumbuhan global yang perlahan.

 

"Kebergantungan yang berterusan kepada sektor O&G menjadikan Brunei terdedah kepada cabaran.

 

"Cabaran berterusan dalam menambahbaik lapangan O&G luar pesisir dan kesan sekatan COVID-19, tempoh lanjutan gangguan dalam pengeluaran O&G huluan boleh menjejaskan pertumbuhan.

 

"Dari segi luaran, kebimbangan terhadap permintaan global yang semakin lemah pada 2023 boleh menjadi penghalang kepada perkembangan eksport," katanya.

 

Pejabat itu berkata, kos pinjaman yang lebih tinggi secara mendadak boleh memberi tekanan ke atas pendapatan korporat pada masa permintaan luaran menyederhana. 

 

"Perniagaan tempatan terutamanya yang masih pulih daripada wabak, seperti sektor pelancongan dan pengangkutan akan terus berdepan tekanan untuk membayar hutang atau menghadapi kesukaran untuk melunaskan hutang mereka," katanya. - DagangNews.com