Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat tetapkan tujuh penanda aras - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat tetapkan tujuh penanda aras - PM Anwar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, kerangka ekonomi yang menggariskan dua fokus utama.

 

  • menstruktur semula ekonomi ke aras Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia.

 

  • meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.

 

 

Ekonomi MADANI yang memandang ke hadapan dalam skop yang lebih luas menetapkan tujuh penanda aras utama sebagai sasaran jangka masa sederhana yang ingin dicapai.

 

  • Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia.

 

  • Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia.

 

  • Peratusan pendapatan buruh mencapai 45% daripada jumlah keseluruhan pendapatan; (nota: sasaran RMKe-12 adalah 40% menjelang 2025).

 

  • Kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60%.

 

  • Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia.

 

  • Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia.

 

  • Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3% atau lebih rendah.

 

 

 

MADANI

 

 

pm

 

 

Perdana Menteri juga mengumumkan beberapa dasar jangka panjang dan sederhana untuk menyambung trajektori pertumbuhan Malaysia. 

 

  • Kerajaan bersama dengan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) akan melabur RM1 bilion dana tambahan secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong 'technopreneur'.

 

  • Penambahbaikan skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120% daripada harga rumah bernilai sehingga RM300,000.

 

  • Peruntukan tambahan sebanyak RM400 juta untuk pinjaman mikro di bawah agensi termasuk SME Corp, TEKUN, MARA dan Teraju.

 

  • Kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah dengan bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta rakyat merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion.

 

 

MADANI

 

 

Menambah pekerjaan dengan gaji bermakna dan munasabah: melaksana dasar untuk meningkatkan peningkatan upah berbanding kutipan dalam negara kasar (KDNK) kepada 45% yang selaras dengan tahap negara maju (daripada 32.4% pada 2022), kajian semula tahap gaji minimum serta memperkenalkan undang-undang yang menjamin persekitaran kerja, dan pelaksanaan levi pekerja asing berperingkat untuk mengurangkan kebergantungan pada buruh asing kurang mahir.

 

Kesaksamaan peluang tanpa mengira jantina, kaum, atau latar belakang: mengutamakan golongan berpendapatan rendah dalam pemberian biasiswa dan pendidikan berasrama penuh, mengukuhkan nilai rantaian ekonomi sesebuah negeri berdasarkan tumpuan sektor masing-masing, meningkatkan daya huni dan kemampanan bandar, memperbaiki aspek perundangan dan kawal selia serta program sokongan supaya menaikkan kadar penyertaan buruh wanita kepada 60% daripada 55.5%.

 

Jaringan perlindungan sosial untuk semua: pencegahan melalui Insurans Sosial untuk memanfaatkan lebih 40% tenaga buruh daripada sektor formal dan tidak formal yang tidak mendapat perlindungan untuk simpanan persaraan sewajarnya, memastikan tahap simpanan persaraan mencukupi, dan meneruskan serta menguatkan lagi jaring keselamatan sosial rakyat.

 

 

MADANI

 

 

Reformasi perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan sumber manusia: memampankan sektor kesihatan berdasarkan garis panduan Kertas Putih Kesihatan, merawat pesakit berkonspekan pencegahan penyakit, dan jaminan pemberian pendidikan bagi semua rakyat Malaysia.

 

Pengangkutan awam: menyatukan pengurusan pengangkutan awam darat untuk mengoptimumkan semua aset sedia ada, dan menambah baik isu jaringan terakhir.

 

 

MADANI

 

 

Kemudahan asas: menyelesaikan akses bekalan air di Sabah dan Kelantan agar semua rakyat Malaysia menikmati akses sejagat infrastruktur asas.

 

Perumahan mampu milik untuk semua: mengusahakan Pelan Tindakan Perumahan Negara yang antaranya merangkumi keperluan bekalan rumah berpandukan metrik seperti catuan harga rumah median untuk pendapatan median. Penyediaan perumahan awam turut diteruskan di samping merancakkan pasaran sewa sebagai usaha memenuhi keperluan perumahan.

 

 

MADANI

 

 

Pelonjakan “siling” negara adalah untuk memajukan ekonomi Malaysia sepadan dengan objektif untuk menjadi peneraju ekonomi Asia. Berikut adalah garis panduan bagi objektif tersebut dalam Ekonomi MADANI:

 

Agenda serantau (ASEAN): mengkapitalisasi isu rantaian global dengan menjadikan Malaysia sebagai pembekal rantaian bekalan yang baru muncul terutamanya bagi pasaran Asia Timur dan menaikkan daya saing dan nilai tambah tinggi sektor-sektor ekonomi sedia ada di Malaysia. Ekonomi MADANI berhasrat untuk mengangkat Malaysia kepada salah satu daripada 30 ekonomi terbesar di dunia dan mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 5.5% setahun secara konsisten.

 

Meningkatkan daya saing negara sebagai destinasi pelaburan: memperkukuh agensi galakan pelaburan, mengkaji semula insentif pelaburan, dan menaik taraf kawasan perindustrian.

 

Meluaskan pasaran dan potensi perniagaan tempatan, daripada perniagaan mikro kecil sederhana (PMKS) kepada firma-firma tersenarai: syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan terus memacu pelaburan langsung domestik (DDI) dan menyokong pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik bagi melahirkan lebih banyak syarikat-syarikat tempatan berpasaran global.

 

Meningkatkan pembiayaan bagi memacu pertumbuhan eksport termasuk Program Pembangunan Syarikat Pertengahan serta Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh MATRADE, serta merancakkan pasaran saham dan ekuiti persendirian daripada segi penyertaan pelabur rakyat biasa dan syarikat-syarikat mencari pelaburan.

 

Kerajaan juga berikrar untuk memberi insentif supaya perbelanjaan kasar R&D meningkat kepada 3.5% kadar KDNK menjelang tahun 2030.

 

 

anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di ibu negara pada 27 Julai 2023. - Gambar Bernama

 

 

Peneraju ekonomi Islam global: memperluaskan instrumen-instrumen pelaburan dan pembiayaan Islam kepada pembiayaan ekuiti termasuk modal teroka, pendanaan awam ekuiti, ekonomi digital Islam, kewangan sosial Islam termasuk zakat, wakaf dan sadaqah, serta kaedah 'blended finance' yang mengunakan dana daripada sumber yang lebih luas. 

 

Merancakkan usahawan mikro dan sektor tidak formal: mengulangi komitmen penyediaan pembiayaan mikro serta mengalu-alukan syarikat-syarikat pemula Malaysia yang boleh menjadi agen perubahan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Pertumbuhan hijau demi pertahanan iklim: Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia (NETR) akan menjadi panduan untuk peralihan tenaga Malaysia dan mengubah cara tenaga dijana di Malaysia demi meningkatkan ketahanan iklim. Insentif baharu bagi menggalak aktiviti pertumbuhan hijau baharu seperti aktiviti CCUS (Carbon Capture, Utilisation & Storage) juga akan diperkenalkan.

 

 

PM

 

 

Penggunaan tanah dan keterjaminan makanan: mengoptimum penggunaan tanah pertanian sedia ada dengan menggunakan aplikasi teknologi pertanian. Penciptaan aset biodiversiti dalam pasaran perdagangan karbon melalui usaha pemuliharaan dan penghutanan semula perlu dipergiatkan untuk menambah baik integriti persekitaran.

 

Kementerian-Kementerian Kerajaan Malaysia akan menzahirkan maklumat-maklumat terperinci dan mekanisme-mekanisme untuk menjayakan Ekonomi Madani dalam masa terdekat melalui kerangka-kerangka khusus termasuklah Pelan Induk Perindustrian, NETR, dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12. - DagangNews.com