Ekonomi Malaysia berkembang sederhana 3.8% pada 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia berkembang sederhana 3.8% pada 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dianggarkan berkembang 3.4% pada suku keempat 2023, berbanding 3.3% pada suku tahun sebelumnya, menurut anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

DOSM berkata, secara keseluruhan, ekonomi negara berkembang sederhana 3.8% selepas mencatatkan pertumbuhan 8.7% pada 2022.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor perkhidmatan menjadi peneraju prestasi ekonomi pada suku tahun ini dengan semua sektor lain mencatat pertumbuhan positif. 

 

Katanya, sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 4.7% pada suku tahun keempat 2023 disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta perkhidmatan perniagaan. 

 

"Sektor perlombongan dan pengkuarian berkembang 3.7% pada suku tahun keempat 2023 dan pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan dalam semua aktiviti terutamanya gas asli dan minyak mentah serta kondensat.

 

"Sektor pembinaan menyederhana kepada 2.5% pada suku tahun dipengaruhi oleh subsektor kejuruteraan awam dan bangunan kediaman. Sektor pertanian meningkat kepada 1.2% pada suku tahun keempat 2023, hasil daripada peningkatan dalam pengeluaran kelapa sawit," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan marginal 0.1% pada suku tahun ini.

 

 

dosm

 

 

Katanya, pertumbuhan sektor itu disokong pembuatan berasaskan produk minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan dan prosesan makanan dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka. 

 

"Bagaimanapun, produk elektrik, elektronik dan optikal serta poduk petroleum, kimia, getah dan plastik merosot pada suku tahun ini," katanya. - DagangNews.com