RHB Investment semak turun unjuran pendapatan FY24 Sentral REIT sebanyak 5% kesan kos operasi tinggi | DagangNews Skip to main content

RHB Investment semak turun unjuran pendapatan FY24 Sentral REIT sebanyak 5% kesan kos operasi tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - RHB Investment menyemak turun unjuran pendapatan Sentral Real Estate Investment Trust (Sentral REIT) bagi FY24 sebanyak 5% selepas membuat pelarasan kadar penghunian dan andaian kos operasi yang lebih tinggi. 

 

Katanya, keputusan kewangan Sentral REIT pada suku pertama 2024 adalah di bawah jangkaan disebabkan perbelanjaan yang lebih daripada jangkaan mengakibatkan penurunan pendapatan teras setiap unit (EPU) dari suku tahun ke suku tahun.

 

"Bagaimanapun kami menjangkakan prospek jangka panjangnya disokong oleh Menara CelcomDigi yang baru diambil alih," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Sentral REIT mencatat pendapatan bersih RM19.9 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) dengan pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM38.15 juta.

 

Pendapatan yang lebih tinggi bagi suku tersebut disumbangkan daripada Bangunan Sentral 4, Platinum Sentral dan Bangunan Sentral 3 –BMW serta sumbangan hasil daripada Menara CelcomDigi untuk suku penuh, selepas ditolak perbelanjaan hartanah dan kos kewangan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sentral REIT catat pendapatan bersih RM19.9 juta pada 1QFY24, isytihar DPU 1.70 sen

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, kadar penghunian campuran REIT menyusut kepada 85% dengan penyewaan di Menara Shell akan tamat tempoh.

 

Katanya, pihaknya tidak terlalu bimbang kerana hartanah itu merupakan antara bangunan REIT yang disahkan hijau dan telah menerima banyak pertanyaan aripada bakal penyewa.

 

"Kami menjangkakan ruang REIT itu akan diisi menjelang akhir tahun ini," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 91 sen sesaham.- DagangNews.com