RHB Investment nilai saham Smart Asia Chemical bakal disenarai di Pasaran ACE pada 52 sen | DagangNews Skip to main content

RHB Investment nilai saham Smart Asia Chemical bakal disenarai di Pasaran ACE pada 52 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - RHB Investment memberi harga sasaran pada 52 sen terhadap Smart Asia Chemical Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Saranan itu adalah berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) yang diagihkan sebanyak 13x pada pendapatan FY25, sejajar Indeks Pengeluaran Perindustrian Bursa Malaysia.

 

Katanya, harga sasaran itu mewakili pulangan sebanyak 38% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu bersedia untuk mendapat manfaat daripada pengembangan industri pembinaan Malaysia didorong oleh usaha berterusan kerajaan untuk melancarkan projek infrastruktur di seluruh negara.

 

"Kerancakan aktiviti pembinaan akan membantu meningkatkan permintaan untuk hartanah kediaman, komersial dan perindustrian, serta infrastruktur sokongan, yang menjadi petanda baik untuk kumpulan dengan meningkatkan permintaan untuk cat dan salutan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Smart Asia Chemical sasar kumpul RM37.4 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

RHB Investment berkata, kumpulan itu akan memperuntukkan ejumlah 72% daripada hasil IPO atau RM27 juta untuk pembinaan kilang di Perak yang dijadual bermula pada separuh kedua tahun ini bagi meningkatkan kapasiti pembuatannya.

 

Katanya, kumpulan itu kini beroperasi melebihi kapasiti iaitu 109% bagi memenuhi tempahan pelanggan dan Smart Asia Chemical akan meningkatkan kapasitinya sebanyak tiga kali ganda kepada 27 juta liter setahun berbanding 8.7 juta liter sebelum ini.

 

"Menjelang FY26, kumpulan itu menjangkakan penggunaan sekitar 50% daripada kapasiti baharu (13.5 juta setahun) yang membolehkan kumpulan itu mengembangkan asas pelanggannya, mencapai skala ekonomi dan meningkatkan bahagian pasaran.

 

"Penyepaduan sistem pengeluaran cat automatik boleh menghasilkan margin yang lebih tinggi dengan mengurangkan kos tenaga kerja dan pembaziran," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, rangkaian pengedaran Smart Asia Chemical merangkumi sembilan pemborong, 937 pengedar, dan 14 pengedar sah di seluruh Malaysia dan luar negara, membolehkannya meluaskan liputan pasaran dengan berkesan dan mencapai pangkalan pelanggan yang pelbagai.- DagangNews.com