TERAJU, Yayasan Peneraju dan Ekuinas diberi peranan khusus dalam ekosistem keusahawanan Bumiputera - Rafizi | DagangNews Skip to main content

TERAJU, Yayasan Peneraju dan Ekuinas diberi peranan khusus dalam ekosistem keusahawanan Bumiputera - Rafizi

Penjajaran semula agensi bermandat Bumiputera di bawah Kementerian Ekonomi termasuk TERAJU. -Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Mei - Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Yayasan Peneraju (YP) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) akan memainkan peranan yang khusus di dalam ekosistem keusahawanan Bumiputera menerusi penjajaran semula ketiga-tiga agensi bermandat Bumiputera di bawah kawal seliaan Kementerian Ekonomi.

 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, YP berfokus kepada pembangunan bakat untuk meningkatkan kelas pencipta nilai Bumiputera manakala TERAJU akan bertindak sebagai super-scaler dalam memacu pertumbuhan dan memperluaskan skala Syarikat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi dan kompetitif di arena global.

 

Ekuinas pula katanya, akan terus memacu penciptaan kekayaan dan penglibatan ekonomi Bumiputera melalui pemilikan ekuiti korporat dengan ketiga-tiga agensi terlibat telah diberikan sasaran yang perlu dicapai menjelang 2030 hasil daripada penjajaran semula ini.

 

"YP perlu menyediakan 10,000 bakat Bumiputera yang bersedia untuk bersaing dan menjadi pemain industri manakala TERAJU pula disasarkan untuk menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM1 bilion menerusi kerjasama dengan sektor swasta serta membangunkan dan meningkatkan keupayaan sebanyak 1,000 syarikat. 

 

"Ekuinas akan menyokong lebih banyak syarikat usahawan Bumiputera yang mempunyai rekod prestasi dan keuntungan yang cemerlang. Melalui dana berjumlah RM800 juta, Ekuinas akan melabur bagi menyokong pertumbuhan syarikat-syarikat ini, memastikan mereka terus berkembang dan mencapai kejayaan yang lebih besar di pasaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Menskalakan Penciptaan Nilai Bumiputera di Cyberjaya hari ini.

 

Majlis itu dihadiri lebih daripada 500 orang termasuk wakil perusahaan Bumiputera pelbagai saiz, pemimpin korporat, syarikat berkaitan Kerajaan, dan agensi Kerajaan.

 

RAFIZI
RAFIZI RAMLI

 

Sementara itu, menurut Rafizi, penjajaran semula strategi dan pelaksanaan bagi TERAJU, YP dan Ekuinas dilaksanakan setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang telah dijalankan awal tahun ini.

 

Katanya, inisiatif penjajaran semula ini juga dilakukan susulan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) yang telah menggariskan strategi untuk memperkukuh peranan agensi mandat Bumiputera dalam penyampaian agenda Bumiputera.

 

"Kerjasama erat antara syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) serta agensi Kerajaan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Bumiputera. 

 

"Namun, kerjasama pintar antara sektor awam dan swasta dijangka dapat membentuk ekosistem keusahawanan Bumiputera yang lebih padu, menyeluruh, dan efisien ke arah pembangunan ekonomi Bumiputera yang lebih saksama,” jelasnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YP, Ibrahim Sani berkata, Yayasan Peneraju berperanan sebagai bank bakat untuk mengenal pasti, membangun, memupuk, mengurus dan menyalur bakat Bumiputera menerusi 3 kategori iaitu – Pemimpin Profesional, Pemimpin Perniagaan dan Pemimpin Komuniti.

 

"Ini dengan matlamat untuk membangunkan kelas Pencipta Nilai Bumiputera. Bakat-bakat Bumiputera ini seterusnya berpeluang disalurkan ke ekosistem TERAJU dan Ekuinas,” jelasnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi pula berkata, TERAJU berperanan sebagai super-scaler dalam memangkin pertumbuhan perusahaan Bumiputera bermula daripada tahap permulaan (start-up) sehingga pertengahan, dengan menekankan aspek peningkatan keupayaan, pengukuhan daya saing dan penskalaan dalam sektor baharu yang berpotensi tinggi. 

 

Kata beliau, usaha ini akan dilaksanakan menerusi pendekatan yang lebih efektif seperti Kerjasama Salingan, Pembelian Langsung Pengurusan  dan Penggabungan dan Pengambilalihan yang akan disokong oleh program pembiayaan dan pemudahcaraan. 

 

"Program pembiayaan meliputi pembiayaan hutang dan pembiayaan ekuiti, manakala program pemudahcaraan pula akan memfokuskan kepada Depositori Korporat Bumiputera serta Khidmat Rundingan dan Nasihat. 

 

"Dengan ini, perusahaan-perusahaan Bumiputera ini akan dilonjakkan skalanya supaya dapat disambut oleh EKUINAS untuk dikembangkan ke peringkat seterusnya," ujarnya.

 

Dalam menerangkan peranan Ekuinas, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, Ekuinas akan terus memacu pertumbuhan syarikat-syarikat peneraju Bumiputera di peringkat pertengahan melalui model pelaburan Dana Persendirian yang sedia ada. 

 

Di samping itu, katanya, Ekuinas akan memperkenalkan suatu program pelaburan baharu iaitu Kredit Persendirian, sebuah skim pinjaman langsung, yang akan menggandingi program pelaburan PE bagi menyediakan spektrum pembiayaan yang lebih lengkap. 

 

"Program pelaburan baharu ini akan memberikan sokongan yang diperlukan untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing perusahaan Bumiputera di peringkat nasional dan antarabangsa. 

 

"Ekuinas juga akan memperkenalkan Dana Asas II, sebagai kesinambungan kepada Dana Asas yang telah dilancarkan pada Mac 2023 untuk memperkasakan perusahaan Bumiputera peringkat pertengahan. 

 

"Dana Asas II juga mampu menyokong syarikat-syarikat berkelayakan yang telah dipupuk oleh TERAJU untuk berkembang ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. - DagangNews.com