KUALA LUMPUR 20 Mei - Webull Securities (Malaysia) Sdn. Bhd. mengumumkan pelancaran platform dagangan global terkemuka, Webull, di Malaysia.
Direka untuk pelabur dari semua peringkat, Webull Malaysia memberikan akses untuk mendagangkan saham di Bursa Securities dan Bursa Derivatives serta saham yang disenaraikan di US dan dana dagangan bursa (ETF) melalui aplikasi Webull Malaysia.
Pada bulan April, Webull Malaysia memperoleh Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk Berurus Niaga dalam Sekuriti (terhad kepada sekuriti tersenarai) dan Berurus Niaga dalam Derivatif.
Webull Malaysia memasuki pasaran tempatan seiringan dengan usaha Bursa Malaysia untuk menggalakkan pertumbuhan dan penyertaan daripada pelabur runcit, terutamanya generasi muda, di bursa saham tempatan. Sehingga Q1 2024, penyertaan pelabur runcit tempatan dalam pasaran sekuriti mencatatkan 22%, manakala penyertaan dalam pasaran derivatif masing-masing mencatatkan 17% untuk FKLI dan 25% untuk FCPO.
Platform dagangan Webull Malaysia dibina berdasarkan infrastruktur global generasi terkini dan teknologi proprietari. Ia menawarkan suite bersepadu sebut harga masa nyata, maklumat pasaran, berita kewangan, data industri, pandangan dan penarafan penganalisis, semuanya daripada sumber yang dipercayai melalui satu titik sentuh untuk membantu pelabur membuat keputusan termaklum.
Di samping itu, Webull Malaysia juga menyediakan penunjuk Syariah untuk membantu pelabur mengenal pasti status pematuhan Syariah bagi saham sebelum melakukan sebarang transaksi.
Ketua Pegawai Eksekutif Webull Malaysia, Kenneth Chan berkata, pengembangan platform Webull ke Malaysia memberikan peluang yang sama kepada semua pelabur, tanpa mengira pengalaman pelaburan atau dagangan mereka.
"Demi menjadikan pelaburan lebih inklusif dan mudah diakses oleh semua pelabur, Webull Malaysia memperkenalkan alat terbaik dan maklumat untuk memperkasakan pelabur dari semua peringkat dengan pengetahuan dan kemahiran supaya mereka boleh membuat keputusan pelaburan yang lebih baik dan mencapai matlamat pelaburan mereka," kata beliau dalam kenyataan di sini.
Menyedari kepentingan pendidikan dan pengetahuan kewangan sebagai asas pelaburan bertanggungjawab, dan sejajar dengan falsafah Pembelajaran, Perkongsian, Pelaburan, pelabur di Webull Malaysia juga boleh mengakses sumber dan alat pendidikan pelaburan melalui “Webull Learn”.
Pelabur boleh mengakses kandungan mengikut keperluan mereka seperti penjelasan istilah pelaburan, amalan terbaik dan panduan cara. Pelabur yang ingin berlatih kemahiran perdagangan dan mensimulasikan strategi juga boleh menggunakan Paper Trading (Dagangan Kertas), simulator latihan dalam platform di mana pelabur boleh membeli dan menjual tanpa melibatkan wang sebenar.
"Teknologi adalah teras perniagaan kami, dan kami komited untuk mengadakan sinergi teknologi dengan kewangan untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan pintar dengan pengalaman perdagangan yang lancar," kata Kenneth lagi.
Menurutnya, melalui alat dan perkhidmatan perdagangan yang canggih, sumber pembelajaran yang terbaik dan kandungan yang boleh dikongsi di platform Webull Malaysia, pelabur boleh maju jaya dalam perjalanan pelaburan dalam persekitaran yang menyokong.
"Dengan ini, kami berharap untuk mengurangkan halangan melabur yang dihadapi oleh pelabur di Malaysia dan menggalakkan orang ramai membina simpanan jangka panjang melalui peluang pelaburan," ujar beliau.
Webull Malaysia menawarkan yuran broker yang kompetitif untuk dagangan tanpa yuran platform.
Untuk memperingati pelancarannya, Webull Malaysia menawarkan dagangan tanpa komisen bagi saham yang disenaraikan di Bursa yang boleh didagangkan, saham yang disenaraikan di US, dan ETF di aplikasi Webull selama 180 hari dari pembukaan akaun Webull Malaysia.
Pelabur juga boleh mendapatkan lima saham Apple menerusi kempen pendaftaran pelancaran Webull Malaysia. - DagangNews.com