Malaysia dijangka berdepan cabaran pada separuh kedua 2024 kesan pelaksanaan rasionalisasi subsidi, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Malaysia dijangka berdepan cabaran pada separuh kedua 2024 kesan pelaksanaan rasionalisasi subsidi, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - TA Securities menjangkakan negara berdepan cabaran pada separuh kedua tahun ini apabila kerajaan melaksanakan usaha rasionalisasi subsidi.

 

Katanya, langkah itu bertujuan mengurangkan defisit fiskal dan memperuntukkan sumber dengan lebih cekap, tetapi dijangka membawa kepada pelarasan dalam pendapatan individu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, "senario kesakitan jangka pendek dan keuntungan jangka panjang" ini, seperti yang diterangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), boleh mengubah corak perbelanjaan pengguna disebabkan penurunan pendapatan boleh guna bagi sesetengah isi rumah, yang berpotensi menurunkan keyakinan dan perbelanjaan pengguna dalam jangka pendek.

 

"Sektor tertentu, terutamanya yang bergantung kepada sokongan kerajaan, mungkin terjejas secara tidak seimbang, menghadapi kos yang lebih tinggi yang boleh menghalang pengembangan dan pengambilan pekerja.

 

"Bagaimanapun, akibat ini dijangka bersifat sementara, dengan BNM menyokong rasionalisasi berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dan inflasi yang boleh dikawal," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, bahawa kesan usaha rasionalisasi subsidi akan dikurangkan oleh dasar pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

consumer

 

Katanya, pengenalan Akaun 3 fleksibel KWSP baru-baru ini, membolehkan pemegang akaun mengeluarkan sehingga 10% daripada baki untuk sebarang tujuan, dijangka meningkatkan penggunaan dan meningkatkan pendapatan boleh guna.

 

"Walaupun jumlah pengeluaran adalah lebih kecil berbanding pengeluaran khas RM10,000 yang dibenarkan semasa pandemik COVID-19 dua tahun lalu, ia masih berpotensi untuk merangsang perbelanjaan," katanya.

 

Sementara itu, TA Securities mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini pada 4.7% berbanding 3.6% yang dicatatkan pada tahun sebelumnya didorong ekonomi yang berdaya tahan selain permintaan domestik yang konsisten.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan lebih banyak tanda pertumbuhan ekonomi menjanjikan pada suku kedua, dengan jangkaan mencapai setinggi 5.5% dari tahun ke tahun.

 

Katanya, perkembangan positif dalam pasaran tenaga kerja disokong penurunan kadar pengangguran, peningkatan bilangan individu bekerja seter peningkatan tahap pendapatan memainkan peranan penting dalam kestabilan ekonomi Malaysia.

 

kwsp

 

Katanya, trend itu menyokong keteguhan permintaan domestik, memupuk persekitaran yang positif untuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran yang mampan.

 

TA Securities berkata, dari segi faktor luaran, mereka menjangkakan peningkatan yang stabil dalam momentum perdagangan Malaysia tahun ini.

 

"Potensi peningkatan permintaan luar, terutamanya dari China, menambah dimensi yang menjanjikan kepada landskap ekonomi selain peningkatan semula permintaan dari negara itu menunjukkan bahawa Malaysia boleh mendapat manfaat dengan meningkatkan jumlah dagangan.

 

"Jangkaan pemulihan permintaan ini, terutamanya daripada rakan dagangan utama memberi petanda baik bagi sektor yang dipacu eksport Malaysia, dengan China menyumbang kira-kira 12.3% daripada jumlah eksport Malaysia," katanya.- DagangNews.com