Datuk Dr Nicol David dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Heriot-Watt Malaysia | DagangNews Skip to main content

Datuk Dr Nicol David dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Heriot-Watt Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - Lagenda skuasy negara, Datuk Dr Nicol Ann David dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Heriot-Watt Malaysia selama lima tahun bermula 17 Mei 2024.

 

Bekas atlet itu pernah bergelar juara dunia sebanyak lapan kali antara 2005 hingga 2014 selain menjadi pemain yang berjaya menduduki ranking 10 terbaik dunia selapada 151 bulan berturut-turut pada 2016.

 

Beliau juga telah diumumkan sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.

 

Dianggap sebagai pemain skuasy wanita terhebat sepanjang zaman, pencapaian cemerlang Nicol telah diiktiraf oleh universiti itu pada 2022 apabila dianugerahkan Ijazah Kehormat atas sumbangan beliau kepada sukan dan sokongan beliau untuk memperkasakan kehidupan melalui pendidikan.

 

Nicol David berkata, ia merupakan penghormatan dan keistimewaan untuk dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Heriot-Watt Malaysia.

 

"Untuk diiktiraf oleh universiti atas pencapaian saya dan melihat bahawa saya boleh berkongsi pengalaman dalam memberi inspirasi kepada belia adalah sangat bermakna dan saya akan melakukan yang terbaik untuk mengambil peranan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sebagai Pro-Canselor, Nicol akan menjadi Ketua Kehormat Universiti di Malaysia selain mewakili universiti dalam kapasiti istiadat dan menjadi duta, termasuk dalam penganugerahan ijazah.

 

Sementara itu, Pengetua dan Naib Canselor Universiti Heriot-Watt Prof Richard A. Williams berkata, pencapaian peribadi Nicol memberi inspirasi dan semangat untuk kepada seluruh kakitangan dan komuniti pelajar universiti itu.

 

"Kami mengharapkan sumbangan daripada beliau dalam membentuk masadepan universiti dan memupuk pemimpin masa depan," katanya. - DagangNews.com