Ekonomi Malaysia dijangka menguncup 6.8% 2020 - DBS | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia dijangka menguncup 6.8% 2020 - DBS

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Ekonomi Malaysia dijangka menguncup 6.8% tahun ini berbanding unjuran yang dibuat sebelum ini, 5.5%, menurut DBS Bank dalam laporannya hari ini. 

 

Ahli ekonomi kanannya, Irvin Seah berkata, pandemik COVID-19 akan terus mengheret ekonomi negara pada suku keempat dengan penggunaan swasta dijangka kembali meningkat. 

 

"Prospek ekonomi Malaysia dijangka menguncup terutama dengan gelombang ketiga COVID-19 dan mungkin lebih teruk lagi dengan jangkitan wabak itu ketika ini.   

 

"Walaupun data frekuensi tinggi menunjukkan bahawa pemulihan di sektor luar tetap tidak berubah, namun ada kebimbangan baharu mengenai prestasi pertumbuhan, yang berkait dengan kesan gelombang jangkitan terbaharu terhadap pertumbuhan domestik," katanya. 

 

Dalam masa sama, katanya, pasaran tenaga buruh di Malaysia kekal lemah walaupun kekosongan jawatan meningkat secara marginal, ia masih kekal di bawah purata bulanan 81,000 jawatan kosong sebelum pandemik. 

 

"Oleh itu, DBS lebih berhati-hati dan mengekalkan unjuran pertumbuhan tahun hadapan pada 6%," katanya.  

 

Menurut Irvin, kerajaan mengunjurkan ekonomi akan berkembang antara 6.5 dan 7.5% pada 2021 tetapi ia dilihat terlalu optimistik. 

 

"Ini kerana sebahagian besar yang disebut sebagai 'pemulihan' hanyalah kesan asas. 

 

"Meskipun situasi ekonomi luaran mungkin semakin baik, tetapi pertumbuhan domestik kekal dipengaruhi pandemik COVID-19 yang masih berterusan," jelasnya dalam laporan itu. 

 

Malah, katanya, DBS juga menjangkakan pembuat dasar akan lebih bergantung kepada dasar fiskal untuk merangsang pertumbuhan pada masa akan datang. 

 

"Bank Negara Malaysia juga dijangka mengekalkan pengurangan faedah sehingga separuh kedua 2021 apabila momentum pemulihan menjadi lebih jelas," katanya. - DagangNews.com