Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Okt. - Landskap ekonomi negara dijangka akan terus berada dalam trend pemulihan untuk beberapa bulan akan datang.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jangkaan itu dinilai berdasarkan kepada Indeks Pelopor (IP) pada Ogos 2020 yang mencatatkan 108.5 mata berbanding 100.8 mata pada bulan yang sama tahun lalu sekali gus mengekalkan pertumbuhan tahunan sebanyak 7.6%.
"Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, IP merosot kepada -0.5% disebabkan oleh bilangan syarikat baru didaftar (-0.6%), import benar semi konduktor (-0.4%) dan bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (-0.1%).
"Walaupun IP perlahan pada bulan rujukan, kadar pertumbuhan terlicin IP adalah konsisten di atas trend dan bergerak ke atas.
"Ini menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia dijangka terus dalam trend pemulihan pada bulan-bulan ke hadapan," katanya dalam laporan IP Ogos 2020 yang dikeluarkan oleh DOSM hari ini.
Indeks tersebut merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan dalam ekonomi.
Beliau turut mengakui bahawa IP berdepan risiko terhadap pertumbuhan kekal berikutan lonjakan kes COVID-19.
Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi ekonomi semasa menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih baik kepada -2.3% berbanding -2.4% pada Julai 2020.
IS secara bulanan meningkat kepada 0.5% disokong oleh peningkatan dalam indeks kuantiti perdagangan runcit (0.5%) dan Gaji & Upah Benar di sektor pembuatan (0.1%).
"Keadaan semasa disokong oleh prestasi Indeks Volum Perdagangan Borong dan Runcit yang menggambarkan tanda pemulihan untuk mencatat 130.0 mata dengan pertumbuhan -2.4% tahun ke tahun.
"Ini merupakan pertumbuhan negatif terkecil sejak Mac 2020 selain peningkatan jumlah penduduk bekerja sebanyak 0.5% kepada 15.2 juta disumbangkan terutamanya dalam sektor perkhidmatan," tambah beliau lagi. - DagangNews.com