Ekonomi Malaysia diunjur kembali catat pertumbuhan melebihi 4% pada tahun ini, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia diunjur kembali catat pertumbuhan melebihi 4% pada tahun ini, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - MIDF Research mengunjurkan ekonomi Malaysia kembali mencatatkan pertumbuhan melebihi 4% pada tahun ini dengan ramalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar berkembang pada kadar 4.7% mengatasi 3.6%  pada tahun lalu.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan asas pertumbuhan positif berterusan seperti yang ditunjukkan oleh pengembangan berterusan dalam Indeks Pelopor.

 

"Secara amnya, kami menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus berkembang tahun ini disokong oleh perbelanjaan domestik yang semakin meningkat dan pemulihan dalam perdagangan luar.

 

"Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan yang mungkin dikekang beberapa risiko seperti kelembapan dalam ekonomi utama seperti China dan Amerika Syarikat (AS), kemerosotan ketegangan geopolitik dan perdagangan, serta gangguan kepada rantaian bekalan global dan aliran perdagangan.

 

"Di peringkat domestik, kami menjangkakan tekanan inflasi akan lebih tinggi memandangkan perubahan dasar yang dirancang, terutamanya rasionalisasi subsidi bahan api dan semakan menaik harga bahan api yang mungkin menjejaskan sentimen pengguna," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Indeks Pelopor Malaysia catat 4.3% pada April 2024, naik 113.1 mata - DOSM

 

Terdahulu, Jabatan Perangkaan berkata, kenaikan Indeks Pelopor untuk bulan kelima berturut-turut pada April 2024 menunjukkan ekonomi Malaysia kekal berada dalam momentum pertumbuhan. 

 

Peningkatan itu dapat dilihat dalam semua komponen kecuali Import Benar Semi Konduktor (-1.5%). 

 

Selepas penurunan marginal sebanyak 0.5% pada Mac 2024, perubahan bulanan Indeks Pelopor meningkat semula sebanyak 0.8% pada April 2024.

 

Pertumbuhan ini disumbangkan oleh peningkatan dalam Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (0.8%), Import Benar Semi Konduktor (0.2%) dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar (0.2%).- DagangNews.com