Ekonomi Malaysia pada April hingga Jun diunjur berkembang 15% - HLIB | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia pada April hingga Jun diunjur berkembang 15% - HLIB

Gambar menara Kuala Lumpur dan Jalur Gemilang adalah karya mkjr_
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Walaupun Malaysia berdepan cabaran susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun 2021, namun prestasi ekonomi negara pada suku kedua tahun ini (2Q21) diunjurkan berprestasi lebih baik daripada jangkaan, pertumbuhan pada kadar 15%. 

 

Unjuran prestasi ekonomi Malaysia dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) itu lebih tinggi daripada ramalan firma-firma penyelidikan lain. 

 

“Kami menjangkakan KDNK 2Q21 akan berkembang sebanyak 15% berbanding tahun lalu berdasarkan terbitan indikator (ekonomi) terbaharu. 

 

“Selain daripada agrikultur, sektor ekonomi lain dijangka mencatatkan pertumbuhan ketara kerana kesan asas yang rendah. 

 

“Sementara menunggu keluaran KDNK 2Q21 sebenar, kami mengekalkan unjuran (prestasi ekonomi) 2021 pada kadar 4.0%,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.

 

KDNK yang akan mengukur prestasi ekonomi negara bagi tempoh April hingga Jun 2021 itu dijangka diterbitkan pada 13 Ogos 2021.

 

Baca : KDNK Malaysia dijangka 'u-turn' dari landasan negatif pada 2Q - AmBank

 

Walaupun permintaan luaran yang kukuh dan kadar vaksinasi pantas memberi sedikit kelegaan buat ekonomi negara, namun pembukaan semula ekonomi bergantung pada kejayaan membendung penyebaran jangkitan bergejala dan mengurangkan tekanan penggunaan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) di seluruh negeri.

 

Susulan landasan pertumbuhan dijangkakan perlahan ekoran lonjakan kes COVID-19, HLIB menyemak turun unjuran ringgit kepada purata RM4.16 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

Sementara, bagi unjuran ringgit menjelang hujung tahun ini, HLIB meletakkan nilai mata wang negara pada kadar RM4.20 berbanding dolar AS. - DagangNews.com