Ekonomi negara suku ketiga menguncup 2.7% - BNM | DagangNews Skip to main content

Ekonomi negara suku ketiga menguncup 2.7% - BNM

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]


 

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Ekonomi Malaysia pada suku ketiga menguncup pada kadar kecil, 2.7% berbanding penguncupan 17.1% pada suku sebelumnya. 

 

Prestasi suku ketiga didorong aktiviti ekonomi yang lebih tinggi terutama apabila perniagaan kembali beroperasi dan permintaan luaran lebih baik. 

 

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, peningkatan pertumbuhan dapat dilihat dalam kebanyakan sektor ekonomi terutama sektor pembuatan yang menjadi positif berikutan aktiviti pengeluaran E&E yang kukuh.

 

Dari segi pengeluaran, permintaan domestik menguncup pada kadar yang lebih perlahan manakala eksport bersih kembali meningkat. 

 

"Berdasarkan suku tahun ke suku yang diselaraskan secara bermusim, ekonomi kembali berkembang pada 18.2% berbanding suku kedua, -16.5%," katanya dalam sidang akhbar prestasi ekonomi suku ketiga 2020 secara maya hari ini. 

 

Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus
Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus

 

Pada suku berkenaan, inflasi utama merekodkan -1.4% disebabkan terutamanya oleh kenaikan harga minyak runcit domestik, sejajar dengan pemulihan harga minyak global. 

 

Inflasi teras pula sederhana kepada 1.0%.

 

Prestasi ringgit pada suku ketiga, mengukuh 2.9% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), berikutan aliran masuk portfolio bukan pemastautin yang berterusan. 

 

Keadaan ini juga dipacu oleh sentimen pelabur yang positif berikutan terdapatnya tanda-tanda pemulihan aktiviti ekonomi global memandangkan banyak negara sudah mengurangkan sekatan pergerakan dan ekonomi kembali beroperasi. 

 

Bagaimanapun, menurut Shamsiah, persekitaran global masih kekal tidak menentu dalam tempoh sederhana yang kemungkinan akan menyebabkan peningkatan aliran modal dan ketidaktentuan dalam kadar tukaran asing pada masa akan datang. 

 

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi dijangka bertambah baik pada 2021 sejajar dengan permintaan global dan sokongan dasar di peringkat domestik. 

 

"Namun, peningkatan kes COVID-19 dan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mungkin memberi kesan kepada momentum pemulihan pada suku keempat tahun ini. 

 

"Tetapi, memandangkan kebanyakan ekonomi sudah dibenarkan beroperasi dengan mematuhi standard operasi prosedur (SOP), maka impaknya kurang teruk berbanding PKP yang dilaksanakan sebelum ini," jelas beliau. 

 

Menurutnya, peruntukan di bawah Belanjawan 2021 terutama Bantuan Prihatin Rakyat, subsidi upah bersasar dan projek awam akan terus menyokong pemulihan pertumbuhan ekonomi pada suku berikutnya selain permintaan global semakin pulih. - DagangNews.com