Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 13 Okt. - Trend kemerosotan dalam pengeluaran perindustrian (IP) yang terus dicatat pada Ogos bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sekatan yang dikenakan ke atas beberapa sektor ekonomi terus menyebabkan penurunan keseluruhan dalam perniagaan, pelaburan serta keyakinan pengguna.
Ambank Research berkata, untuk bulan Ogos, IP kekal di zon penurunan walaupun sedikit meningkat berbanding bulan Julai. Data Ogos menunjukkan penguncupan 0,7% tahun ke tahun, yang lebih kecil daripada penurunan 5.1% pada bulan Julai.
Katanya, kesan dari perintah kawalan pergerakan(PKP) ini juga mempengaruhi perdagangan pengedaran dengan penurunan 12.2% tahun ke tahun pada bulan Ogos berbanding 14.7% pada Julai.
"Prestasi buruk dilihat secara menyeluruh terutamanya di segmen runcit dengan penurunan 7.5% tahun ke tahun, kenderaan bermotor (57.6%) dan perdagangan borong (0.1% ).
"Oleh itu, ekonomi pada suku ketiga tahun 2021 kemungkinan akan menerima kesan daripada penurunan berterusan ini, tetapi prestasi keseluruhan akan dibendung oleh eksport dan harga komoditi yang kukuh," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.
Tambah Ambank Research, berdasarkan unjuran bulanan yang dibuat, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Ogos seharusnya berada sekitar -4.0% daripada -8.4% yang dianggarkan pada bulan Julai.
"Kami menjangkakan pertumbuhan negatif 2% –3% dalam anggaran awal kami untuk KDNK suku ketiga," katanya.
Walau bagaimanapun firma penganalisis itu berkata, KDNK bagi suku keempat dijangka meningkat selepas kelonggaran kepada beberapa sektor ekonomi telah diumumkan.
"Kelonggaran sekatan berikutan kadar vaksinasi negara yang terus meningkat memberikan kestabilan terutamanya dalam sektor pelancongan dan peruncitan, ini sekaligus akan menyokong pertumbuhan bagi KDNK keseluruhan 2021," katanya.
Ambank Research meramalkan untuk tahun 2021 KDNK berada pada paras sekitar 3-5%. -DagangNews.com