Eksesais Harimau Shakti 2023 kukuhkan kerjasama pertahanan Tentera Darat Malaysia, India | DagangNews Skip to main content

Eksesais Harimau Shakti 2023 kukuhkan kerjasama pertahanan Tentera Darat Malaysia, India

Pegawai Rejimen Rajput (kiri) memakaikan tanda lengan pada pegawai Tentera Darat pada perasmian Eksesais Harimau Shakti 2023.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 27 Okt - Sebagai bukti kerjasama pertahanan berterusan, tentera India dan Malaysia telah memulakan latihan bersama iaitu Eksesais Harimau Shakti 2023 di Umroi Cantonment, India.

 

Pada tahun lepas edisi eksesais ini telah diadakan di Kluang, Johor.

 

Latihan dua hala ini bertujuan mengukuhkan keupayaan ketenteraan dan meningkatkan sinergi antara kedua-dua negara.

 

Bukan sahaja memajukan keupayaan ketenteraan tetapi juga melambangkan persahabatan yang berkekalan antara India dan Malaysia serta mengukuhkan komitmen kedua negara terhadap keselamatan dan kestabilan serantau.

 

Latihan

 

Penyertaan Tentera Darat (TD) dalam Eksesais Harimau Shakti 2023 melibatkan pasukan dari Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja manakala Rejimen Rajput mewakili tentera India.

 

Penglibatan TD ini juga menggariskan komitmen Malaysia dalam memupuk hubungan ketenteraan antarabangsa dan mempromosikan latihan kolaboratif.

 

Matlamat utama daripada eksesais ini adalah untuk meningkatkan keupayaan ketenteraan dua negara terbabit dalam menjalankan operasi multi domain dalam senario subkonvensional.

 

Semasa latihan, kedua-dua pasukan akan menubuhkan pos pemerintahan bersama dan pengawasan bersepadu.

 

Ramd
Sebahagian daripada anggota 5 RAMD semasa tiba di India untuk terlibat dalam Eksesais Harimau Shakti.

 

Periksa

 

Penekanan akan diberikan kepada latihan ulangkaji pasukan bersama dalam pelbagai rupa bumi termasuk persekitaran hutan, separa bandar dan bandar selain risikan.

 

Eksesais Harimau Shakti 2023 juga bakal memberi cabaran tersendiri kepada anggota TD apabila beroperasi dalam keadaan muka bumi serta cuaca yang berbeza berbanding di Malaysia.

 

Aset teknologi moden juga akan dimanfaatkan pada latihan ini dengan penggunaan dron dan helikopter untuk mensimulasikan senario operasi ketenteraan sebenar. 

 

Tambahan pula, kedua-dua pihak akan menjalankan latihan pengurusan mangsa dan pemindahan serta memastikan kesediaan menghadapi kecemasan. 

 

Latihan
Tentera Darat Malaysia dan India semasa terlibat dalam Eksesais Harimau Shakti 2022 di Kluang, Johor.

 

Latihan

 

Turut ditekankan ialah soal pengurusan logistik dan kelangsungan operasi pada peringkat batalion yang akan menjadi bahagian penting dalam latihan.

 

Sepertimana kecemerlangan yang telah dibuktikan dalam latihan serupa, Eksesais Harimau Shakti 2023 sekali lagi menjadi bukti komitmen India dan Malaysia untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan dan memupuk hubungan dua hala. 

 

Latihan itu adalah contoh utama objektif bersama negara dalam pertahanan dan keselamatan.- DagangNews.com