[EKSKLUSIF] Jangan salah faham antara rumah mampu milik dan idaman | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] Jangan salah faham antara rumah mampu milik dan idaman

Jangan salah faham antara rumah mampu milik dan idaman

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Masyarakat umum khususnya golongan muda disarankan agar tidak membuat tafsiran atau kefahaman yang salah terhadap pemilikan rumah mampu milik dan rumah idaman mereka.

 

Perkara tersebut selaras dengan keperluan untuk memahami konsep kemampuan dan kelayakan dalam membeli rumah.

 

Selain kefahaman yang salah, kebimbangan untuk memberi komitmen panjang atau pilihan yang tidak bersesuaian menjadikan golongan berkenaan ragu-ragu untuk memiliki rumah.

 

Dalam era pandemik kini, permintaan untuk membeli rumah daripada golongan muda yang berusia 25 hingga 40 tahun adalah lebih tinggi berbanding sebelumnya.

 

Bagaimanapun, hasrat untuk memiliki rumah mula kabur kerana faktor kewangan muncul sebagai penghalang dan masalah utama pembeli rumah bagi golongan muda.

 

Menurut Pengurus Jenama dan Budaya Myra, Akil Hassan Kalimullah berkata, masalah berkenaan berlaku disebabkan oleh dua punca utama iaitu pembayaran pinjaman peribadi yang tinggi atau penggunaan kad kredit yang berlebihan. 

 

Akil Hassan Kalimullah
Akil Hassan Kalimullah

 

Pada masa sama, ramai di antara mereka yang tidak mempunyai duit simpanan atau pendapatan boleh guna yang mencukupi untuk membuat pembayaran kos-kos tersembunyi. 

 

Jelasnya, isu berkenaan berpunca daripada salah faham antara rumah idaman dan juga rumah yang mereka mampu miliki. 

 

"Kebanyakan pembeli rumah selalunya mencari rumah yang di luar kemampuan mereka disebabkan kurang faham tentang konsep kelayakan dan kemampuan. Perkara ini akan menyebabkan golongan muda untuk mudah berasa kecewa dalam mencari rumah dan sebaliknya memilih untuk menyewa rumah.

 

"Konsep sewaan bukanlah satu keputusan yang buruk, tetapi ia juga merupakan sejenis perbelanjaan. Perbezaannya ialah sewaan merupakan satu perbelanjaan namun individu tidak dapat memiliki rumah tersebut, membeli rumah merupakan satu perbelanjaan di mana rumah itu dapat dimiliki dan menjadi aset," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Aspek penentuan kadar harga rumah bagi golongan muda, perkara tersebut bergantung kepada dua faktor utama.

 

Beliau berkata, faktor pertama adalah niat di sebalik pembelian rumah tersebut sama ada ianya dianggap sebagai pelaburan buat pembeli atau untuk dijadikan rumah kediaman.

 

Sekiranya ia dibeli bagi tujuan pelaburan, rumah tersebut tidak perlu memenuhi segala keperluan pembeli, malah pembeli hanya perlu mengambil berat tentang keperluan penyewa. 

 

Menurutnya, secara logik, pembeli dapat memilih rumah yang lebih murah dan boleh disewakan untuk dijadikan pendapatan sampingan. 

 

.

 

Faktor kedua adalah aspek pendapatan iaitu berapakah harga rumah yang berpatutan dan dapat dimiliki dengan pendapatan bulanan pembeli.

 

Malangnya ramai antara pembeli belum betul-betul memahami status kemampuan dan kelayakan masing-masing.

 

Katanya, apabila menilai kemampuan selain daripada pembayaran bulanan pinjaman daripada bank atau mana-mana institusi, pembeli juga harus mempertimbangkan kos-kos lain seperti yuran guaman, insurans, kos pengubahsuaian dan lain-lain. 

 

Itulah yang dapat memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai perbelanjaan yang perlu disediakan oleh pembeli. 

 

"Nasihat dari Myra ialah sebagai gambaran utama untuk memilih rumah yang mampu dimiliki, pembeli boleh menggunakan konsep di mana pembeli cuma perlu mendarab gaji bersih dengan 100. 

 

"Formula ini akan dapat memberi anggaran bagi pembeli tentang harga rumah yang berpatutan dan mampu dimiliki dengan kemampuan kewangan pembeli. 

 

"Namun, harga tersebut boleh berubah (sama ada lagi tinggi atau lebih rendah) mengikut perbelanjaan bulanan masing-masing," katanya lagi.

 

Ditanya berkaitan berapakah harga rumah yang mampu dimiliki golongan muda hari ini, beliau memberitahu, pihaknya menyediakan dua formula untuk memudahkan pengiraan tersebut. 

 

Pertamanya seperti yang disebut tadi, anggaran harga rumah yang mampu dimiliki oleh pembeli boleh didapati dengan cara mendarab gaji bersih pembeli dengan 100.

 

Kedua, apabila membuat pinjaman daripada bank atau mana-mana institusi kewangan, pastikan kos pembayaran balik untuk pinjaman tidak melebihi 40% daripada gaji bersih masing-masing. 

 

Susulan itu, para pembeli dapat membeli rumah yang sesuai dengan kemampuan masing-masing dan pada masa yang sama, para pembeli dapat meneruskan gaya hidup masing-masing tanpa membuat pertukaran yang drastik.

 

Mengulas berkaitan isu ejen hartanah yang memperlekeh situasi kewangan golongan muda yang tular baru-baru ini, beliau memberitahu, pihaknya kecewa dengan insiden berkenaan dan turut menghubungi pembeli tersebut untuk menawarkan bantuan yang diperlukan.

 

.
Tangkap layar tindakan ejen hartanah yang memperlekeh situasi kewangan golongan muda yang tular baru-baru ini. Kredit foto World Of Buzz.

 

"Pihak Myra berjaya menghubungi pembeli tersebut dan dia menyuarakan kekeliruan yang dihadapi berkaitan proses pembelian rumah dan anggota property consultant Myra berjaya memberi penerangan yang lebih jelas kepadanya. 

 

"Apabila kekeliruan dan kerisauan para pembeli rumah diperkecilkan atau dipandang remeh oleh sesetengah pihak, ianya sangat mengecewakan. Sehingga kini, kami dapati banyak kekurangan dari segi sokongan terhadap pembeli rumah pertama," ujarnya lagi.

 

Melangkah kehadapan dalam situasi pandemik ini, Myra telah mengambil peluang membangunkan platform-platform online seperti Myra Home Buying Hub, Myra Super Calculator, ‘virtual tour’ dan lain-lain.

 

Usaha berkenaan adalah untuk memberi sokongan tambahan bagi mereka yang berhasrat membeli rumah atau yang belum pernah melalui proses pembelian.

 

"Kami juga sedang mengusahakan satu lagi inisiatif yang boleh mendatangkan faedah bukan sahaja kepada golongan yang sedang mencari rumah, malahan juga kepada golongan yang berhasrat untuk menjadi pemilik rumah pada masa akan datang," katanya lagi. - DagangNews.com