[EKSKLUSIF] Revenue Monster 'buka pintu' peralihan digital PKS | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] Revenue Monster 'buka pintu' peralihan digital PKS

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Berhasrat untuk mengangkat penggunaan penyelesaian kewangan digital sesuatu yang mudah, Revenue Monster Sdn. Bhd. menawarkan sebuah platform yang serba lengkap untuk perniagaan di Malaysia.

Lebih menarik, penyelesaian digital Revenue Monster ditawarkan tepat pada waktunya ketika hampir satu juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia ‘terpaksa’ beralih ke digital apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan akibat COVID-19.

Kebanyakan perniagaan terutamanya PKS sebelum itu berdepan jurang penyelesaian digital yang luas dan bergelut untuk membawa jenama mereka ke dalam talian.

 Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Monster, Amanda Chin (gambar atas) percaya perkhidmatan yang ditawarkan syarikatnya merangkumi kaedah pembayaran e-dompet, e-invois, sambungan ke platform media sosial, program ‘loyalty’, penyelesaian kedai dalam talian mereka, à la carte dan data membuka pintu peralihan digital PKS.

“Kami di Revenue Monster mempunyai pendekatan berbeza di mana syarikat ingin mempercepat proses digital perniagaan ke dalam kaedah yang lebih mudah dan berpatutan. Secara keseluruhannya, kami bermula sebagai platform pembayaran, ketika lonjakan pengenalan e-dompet.

“Semua pihak boleh berhubung dengan sistem yang kami tawarkan sama ada dalam atau luar talian kerana antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) kami terbuka,” kata Chin kepada DagangNews.

 

Revenue Monster
REVENUE MONSTER percaya semua perniagaan di Malaysia kini sedia untuk beralih ke digital.

 

Sebagai perintis platform pembayaran digital, Revenue Monster bekerjasama dengan 15 e-dompet antaranya Boost, Touch ‘n Go eWallet dan GrabPay serta kad kredit dan debit.

Pelanggan Revenue Monster sebelum ini didominasi oleh sektor makanan dan minuman (F&B), tetapi pasca COVID-19 telah mendorong kemunculan sektor baharu iaitu agensi hartanah dan lebih mengejutkan, institusi pendidikan.

“Apabila urus niaga tanpa sentuhan membentuk aspek penting dalam penjarakan sosial, lebih banyak syarikat mula melihat keperluan penyelesaian pembayaran tanpa tunai,” tambah Chin.

Sementara itu, pelaksanaan PKP tidak menghalang Revenue Monster untuk menghasilkan sebuah lagi platform yang menambah tawaran penyelesaian digital syarikat kepada pelanggan, iaitu ‘à la carte’.

à la carte yang didatangi dengan perkhidmatan tempahan makanan dalam talian serta penghantaran oleh syarikat dalam sektor ekonomi gig seperti GrabExpress, telah meraih lebih 5,000 saudagar (merchant) dan angka itu dijangka meningkat dengan pesat, kata Chin.

 

Grabexpress
à la carte menyediakan platform untuk peniaga meletakkan menu dan tempahan bakal dihantar oleh syarikat penghantaran seperti GrabExpress.

 

Malah, Chin turut berhasrat untuk membawa à la carte sehingga ke peringkat peniaga kecil, bagi membantu memperluaskan jenama mereka ke dalam platform digital.

“Kami menyaksikan banyak konglomerat dan syarikat besar yang mencari strategi digital. Seiring itu, mereka merujuk Revenue Monster untuk membantu dalam strategi teknologi mereka di mana pada bila-bila masa dapat menggunakan platform kami bagi tujuan tersebut.

“Terdapat banyak perkhidmatan penyelesaian digital yang ditawarkan sebelum COVID-19, tetapi kebanyakannya tidak dihasilkan seiring keperluan perniagaan pasca pandemik,’ ujar Chin.

Untuk rekod, Revenue Monster merupakan satu-satunya rakan teknologi bagi penyelesaian fintech Alibaba Cloud dari tahun 2019.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Revenue Monster sila layari www.revenuemonster.my.   - DagangNews.com