[EKSKLUSIF] Texas Chicken sasar peningkatan jualan 30% menerusi foodpanda | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] Texas Chicken sasar peningkatan jualan 30% menerusi foodpanda

SAYANTAN DAS (kiri) dan Tan San Jean (kanan)

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Salah satu rangkaian restoran makanan segera berasaskan ayam yang terbesar dunia, Texas Chicken menyasarkan peningkatan jualan di dalam negara sebanyak 30% menerusi kerjasama dengan platform penghantaran, foodpanda Malaysia.

 

Pemangku Pengurus Besar Texas Chicken Malaysia, Tan San Jean mendedahkan bahawa kerjasama itu buat masa ini menyaksikan perkembangan baik dan berharap momentum positif tersebut akan berterusan.

 

“Jalinan kerjasama dengan foodpanda Malaysia merupakan langkah yang tepat buat kami. Lebih kurang sebulan kami bersama foodpanda, penjualan penghantaran keseluruhan pada bulan Julai telah meningkat dua kali ganda berbanding purata jualan penghantaran bulanan.

 

“Selain daripada kempen pemasaran yang menarik, lonjakan penjualan ini sebahagiannya disebabkan oleh kerjasama kami bersama foodpanda. Kami turut menyasarkan pembukaan 18 restoran baharu pada akhir 2022 dan berharap dapat memenuhi permintaan pelanggan dengan penghantaran foodpanda yang meluas,” katanya kepada DagangNews.com.

 

Menyedari keperluan untuk memperluaskan platform penghantaran, Texas Chicken memilih foodpanda untuk mencapai para pelanggan yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan mereka sebelum ini.

 

Bagaimanapun, kata Tan, beliau dalam masa sama tidak menolak kemungkinan untuk turut mempertimbangkan bagi memperluaskan kerjasama dengan platform penghantaran lain sekiranya ada permintaan pada masa hadapan.

 

foodpanda
Menerusi keupayaan dan dominasi foodpanda sebagai peneraju platform dalam talian, Texas Chicken dapat menggandakan keseluruhan penjualan penghantaran pada Julai jika dibandingkan dengan purata jualan setiap bulan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, beberapa usaha  telah dilakukan melalui kerjasama dengan Texas Chicken termasuk membantu mereka memanfaatkan peluang dan kawasan di luar capaian perkhidmatan seperti di Kluang, Segamat, Kulim dan Jerantut.

 

Menerusi keupayaan dan dominasi foodpanda sebagai peneraju platform dalam talian, katanya, Texas Chicken dapat menggandakan keseluruhan penjualan penghantaran pada Julai jika dibandingkan dengan purata jualan setiap bulan.

 

“Sepanjang tempoh pandemik ini, kami melihat lebih banyak pengguna kini bergantung kepada perkhidmatan penghantaran dan aplikasi yang serupa dalam memenuhi keperluan harian mereka.

 

“Situasi sebegini dapat dijangka kerana rakyat Malaysia digalakkan untuk duduk di rumah ketika angka kes harian semakin meningkat dan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

 

“Sehubungan itu, permintaan untuk perkhidmatan penghantaran dalam talian kian meningkat sepanjang tempoh ini. Lebih ramai rakyat Malaysia kini menggunakan perkhidmatan penghantaran untuk membeli bukan sahaja makanan, tetapi barangan dapur dan juga keperluan harian,” ujarnya lanjut.

 

Pandemik COVID-19 telah mendorong foodpanda untuk merapatkan jurang melalui pelbagai pasaran yang boleh dimanfaatkan sekali gus memperkenalkan perkhidmatan seperti shops, pandamart dan pandakitchen.

 

Tambah Sayantan, secara keseluruhannya, foodpanda menyaksikan pertumbuhan yang sihat bagi perbandingan tahun ke tahun dari segi peratusan kenaikan jualan. - DagangNews.com