Ekspo Dubai 2020 jadi platform syarikat fintech Islam dari Malaysia ke pasaran global | DagangNews Skip to main content

Ekspo Dubai 2020 jadi platform syarikat fintech Islam dari Malaysia ke pasaran global

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan mengetuai delegasi Malaysia ke Ekspo Dubai 2020 yang akan diadakan 9 hingga 15 Januari ini sempena minggu Ekonomi Digital Malaysia. 

 

Delegasi itu terdiri daripada 20 syarikat termasuk yang memacu pertumbuhan industri teknologi kewangan (fintech) Islam di Malaysia. 

 

Antara syarikat yang menyertai degelasi tersebut adalah microLEAP (platform pembiayaan mikro rakan setara atau P2P Islam dan konvensional yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia) dan TheNoor (aplikasi gaya hidup Muslim yang dilancarkan oleh usahawan Noor Neelofa Mohd Noor).

 

Selain itu, Wahed Technologies yang merupakan syarikat pengurusan pelaburan digital Islam dan Global Sadaqah (platform pengurusan zakat dan wakaf) turut menyertai delegasi berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadzir Aziz berkata, Ekspo Dubai 2020 akan memainkan peranan sebagai platform penting kepada penginovasi fintech Islam tempatan untuk mencapai pasaran global.

 

Katanya, ia selaras dengan visi MDEC untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kepada fintech Islam. 

 

“Kewangan dan fintech Islam dilihat menjadi teras penting dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang bukan sahaja memacu masyarakat progresif, inklusif dan mampan, malah ke arah mengembangkan pasaran eksport negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Laporan Fintech Islam Global Dinar Standard 2021, pasaran fintech Islam dijangka berkembang kepada AS$128 bilion menjelang 2025.

 

Pada 2020, jumlah transaksi fintech Islam dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dijangka berjumlah AS$49 bilion. 

 

Ekonomi halal ketika ini bernilai AS$3.1 trilion dan dijangka meningkat kepada AS$5 trilion pada 2030. 

 

Malaysia berada di kedudukan pertama dari segi kematangan pasaran dan berada di kedudukan 5 terbaik berdasarkan jumlah transaksi pasaran fintech Islam. - DagangNews.com