Eksport Malaysia merosot 5.9% pada November 2023, lebih daripada jangkaan - DOSM | DagangNews Skip to main content

Eksport Malaysia merosot 5.9% pada November 2023, lebih daripada jangkaan - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Eksport Malaysia mencatatkan pengurangan sebanyak 5.9% kepada RM122.1 bilion, manakala jumlah perdagangan menyusut 2.4% kepada RM231.8 bilion pada November 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

DOSM dalam kenyataan media berkata, pertumbuhan global yang sederhana serta permintaan luaran yang lemah terhadap barangan Malaysia mendorong penguncupan jumlah perdagangan terutamanya eksport.

 

Katanya, import kembali merekodkan peningkatan 1.7% kepada RM109.7 bilion, tahun ke tahun setelah lapan bulan berturut-turut merekodkan kejatuhan. Lebihan dagangan menurun 43.1% kepada RM12.4 bilion pada November 2023. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia merosot pada November 2023 selaras dengan penurunan eksport domestik. 

 

Beliau berkata, eksport domestik bernilai RM95.9 bilion yang menyumbang 78.5% kepada jumlah eksport, berkurang 7.4%. 

 

Manakala, eksport semula berjumlah RM26.2 bilion, menokok secara marginal 0.1% berbanding November 2022. 

 

"Import pada November 2023 bernilai RM109.7 bilion, meningkat 1.7% berbanding bulan yang sama tahun lepas. Sementara itu, lebihan dagangan dengan jumlah RM12.4 bilion merupakan lebihan dagangan ke-43 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. 

 

 

DOSM

 

 

"Berbanding Oktober 2023, prestasi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan kembali merekodkan penyusutan masing-masing 3.2%, 3.1%, 3.1% dan 3.8%," katanya.

 

Meninjau dari sudut kumpulan barangan, 125 daripada 257 kumpulan barangan eksport menunjukkan penurunan, manakala 146 daripada 258 kumpulan barangan import meningkat berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Mohd Uzir berkata, eksport yang lebih rendah disumbangkan openurunan terutamanya ke Singapura (-RM3.7 bilion) diikuti oleh Jepun (-RM1.6 bilion), China (-RM1.6 bilion), Hong Kong (-RM1.2 bilion) dan Amerika Syarikat (-RM1.2 bilion).

 

Sementara itu katanya, peningkatan import terutamanya disumbangkan dari Singapura (+RM2.4 bilion) diikuti oleh Arab Saudi (+RM1.4 bilion), Amerika Syarikat (+RM1 bilion) dan Thailand (+RM545.7 juta).

 

Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, penyusutan selaras dengan pengurangan eksport barangan elektrik & elektronik (-RM7.3 bilion); kimia & bahan kimia (-RM1.1 bilion); dan kelengkapan pengangkutan (-RM1 bilion). 

 

Sementara itu, pertambahan import dicatatkan bagi kelengkapan pengangkutan (+RM1.8 bilion); petroleum mentah (+RM1.1 bilion); dan keluaran petroleum (+RM774.4 juta).

 

Beliau berkata, mengikut Penggunaan Akhir seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan modal dan barangan penggunaan. 

 

"Import barangan modal bernilai RM14.9 bilion, berkembang 53.3% berbanding November 2022, merangkumi 13.6% daripada jumlah import. 

 

"Barangan penggunaan (8.9% daripada jumlah import) menokok 2.2% daripada RM9.5 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM9.7 bilion. Barangan perantaraan (51.2% daripada jumlah import) bernilai RM56.2 bilion, mencatatkan kemerosotan 5.25% atau RM3.1 bilion," katanya.

 

Di samping itu, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan bagi tempoh Januari hingga November 2023 kembali mencatatkan penurunan. Jumlah  dagangan jatuh 7.5%, dari RM2.6 trilion kepada RM2.4 trillion, sejajar dengan penyusutan eksport (-7.8%) serta import (-7.1%). 

 

Pada masa yang sama, lebihan dagangan merosot 11.3% bagi mencatatkan nilai RM202.5 bilion. - DagangNews.com