Eksport sawit 2020 dijangka melebihi RM70 bilion | DagangNews Skip to main content

Eksport sawit 2020 dijangka melebihi RM70 bilion

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Nilai eksport minyak sawit Malaysia dan produk berkaitan sawit dijangka melebihi RM70 bilion pada 2020 berbanding RM67.5 bilion, tahun sebelumnya. 

 

Menteri Perladangan Industri dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia menunjukkan pengeluaran minyak sawit di negara ini telah meningkat sejak beberapa tahun lalu.

 

Katanya, ia meningkat daripada 4.1 juta tan metrik pada 1985 kepada 18.9 juta tan metrik pada 2011.

 

"Industri minyak sawit Malaysia dengan mudah dapat memenuhi permintaan minyak sawit dan lemak di peringkat tempatan, manakala lebihannya boleh dieksport," katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika Sidang Kemuncak Agritech Global dan Sesi Webinar 2021 mengenai Teknologi Minyak Sawit secara maya petang ini. 

 

Pengeluaran minyak isirung sawit juga mencatat peningkatan, daripada 1.3 juta tan metrik pada 1999 kepada 4.7 juta tan metrik pada 2011. 

 

Menurutnya, sebelum 1970, kebanyakan isirung sawit dieksport dan sejak 1979 pula, ia dihancurkan secara tempatan untuk pengeluaran minyak isirung sawit dan kek isirung sawit.

 

Sehubungan itu, Mohd. Khairuddin menyifatkan teknologi memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengeluaran hasil minyak sawit. 

 

Jelasnya, pengeluaran meningkat 23% berbanding 19% sekiranya teknologi perladangan dan pengeluaran dinaiktaraf dan ditambahbaik. 

 

"Dalam erti kata lain, teknologi dapat menggalakkan nilai tambah kepada produk dan memacu industri sawit daripada terbiar usang," katanya. 

 

Beliau berkata, pelbagai usaha telah diambil untuk melaksanakan automasi dan sebagai mekanisme bagi menangani masalah bekalan tenaga buruh. 

 

Bagaimanapun, katanya, pelaksanakan teknologi transformatif menerusi Revolusi Industri 4.0 belum lagi berkembang dalam industri ini. 

 

"Tetapi, apabila pertanian jitu semakin berkembang dan bersesuaian dengan aspirasi transformasi negara 2050, kami menjangkakan teknologi ini akan menjadi inovasi dalam semua sektor terutama minyak," katanya. - DagangNews.com