KUALA LUMPUR 30 Sept - Kira-kira 99% eksport Turkiye ke Malaysia akan menikmati layanan bebas cukai, manakala hampir 86% eksport Malaysia ke negara itu turut menerima kelebihan yang sama di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA), berkuat kuasa 1 Jan 2023.
Melalui perjanjian itu, potensi besar perdagangan kedua-dua negara meliputi bidang baharu seperti pelaburan, perkhidmatan dan e-dagang.
Selain itu, MTFTA adalah salah satu perjanjian perdagangan yang paling penting memandangkan ia melibatkan dua buah negara Islam sederhana yang juga merupakan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pengembangan skop MTFTA akan meningkatkan antara lain aliran silang pelaburan serta meningkatkan mobiliti profesional antara Malaysia dan Turkiye.
Langkah itu juga akan melonjakkan lagi keyakinan pengguna dalam urus niaga dalam talian melalui penyelarasan peraturan dan penggunaan mekanisme pemudahcara manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana turut mendapat manfaat daripadanya kerana ia akan meningkatkan penyertaan mereka dalam perdagangan antarabangsa.
Keputusan berhubung layanan bebas cukai itu dibuat pada mesyuarat Majlis Ekonomi dan Perdagangan Bersama (JETC) yang diadakan di Ankara pada Khamis, dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan rakan sejawatan Menteri Perdagangan Türkiye, Dr Mehmet Mus.
JETC itu diadakan bersempena dengan pemeteraian Protokol untuk Meminda Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Türkiye untuk meluaskan MTFTA sedia ada yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2015.
Protokol itu yang berjaya disiapkan dalam tempoh 15 bulan, kini telah diperluaskan skopnya untuk merangkumi perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan dan e-dagang.
Pada mesyuarat itu, kedua-dua negara turut membincangkan pelbagai isu berkaitan perdagangan dua hala dan kerjasama ekonomi, termasuk kemungkinan memperkukuh lagi kerjasama dalam sektor perindustrian seperti industri halal serta langkah anti-lambakan untuk mencegah persaingan tidak adil.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut mencadangkan penubuhan secara rasmi Pasukan Petugas bagi Ketahanan Rantaian Bekalan Semikonduktor dua hala yang telah diterima baik oleh Turkiye.
Pasukan petugas ini akan memformalkan rangka kerja kerjasama ke arah memastikan daya tahan rantaian bekalan semikonduktor melalui penyelidikan dan pembangunan, keupayaan reka bentuk, kapasiti perkongsian pengeluaran, pembangunan bakat dan akses pasaran.
Menteri MITI dan rakan sejawatannya dari Turkiye juga menyatakan Malaysia dan Türkiye masing-masing berada di kedudukan strategik untuk menjadi hab pembuatan pilihan untuk ASEAN dan Kesatuan Eropah, Bernama melaporkan.
Sementara itu, Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Bersama peringkat pegawai kanan seterusnya pada tahun hadapan. - DagangNews.com