KUALA LUMPUR 3 Feb. - Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) membuat pelaburan pertama dalam industri farmaseutikal menerusi perolehan kepentingan dalam Medispec (M) Sdn. Bhd. (Medispec) berdasarkan nilai perusahaan sebanyak RM88.5 juta.
Medispec, peneraju farmaseutikal tempatan dan pengedar produk makanan tambahan memasarkan lebih daripada 100 ubat farmaseutikal dan 30 makanan tambahan kesihatan untuk kedua-dua kategori preskripsi dan di kaunter (OTC).
Ini termasuk aplikasi perubatan merangkumi pelbagai bidang terapi seperti anti-jangkitan, antineoplastik, sistem muskuloskeletal, sistem kardiovaskular dan sistem saraf.
Syarikat juga memiliki Vitamode, jenama makanan tambahan kesihatan sendiri yang memenangi anugerah, menampilkan produk-produk khas seperti CoQ10 Ubiquinol, Mecobin, Lacidofil, Cognipro dan Tumecap.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, penyertaan Ekuinas dalam ruang penjagaan kesihatan dan farmaseutikal adalah tepat pada masanya kerana mahu memanfaatkan megatrend global dan anjakan demografik di tengah-tengah kemunculan COVID-19.
Medispec telah menubuhkan satu rangkaian pembekalan dan pengedaran yang kukuh di pasaran tempatan, dipacu dengan pemahaman industri yang mendalam dan hubungan erat dengan pihak berkepentingan.
“Selain daripada rangkaian pengedarannya yang besar dan terjalin dalam kalangan klinik, farmasi, hospital awam dan swasta, lain-lain pertimbangan utama yang mempengaruhi keputusan kami untuk melabur dalam Medispec termasuk peluang industri yang cerah, jenama sendiri dengan prospek pertumbuhan yang kuat dan perancangan produk yang sihat.
"Faktor-faktor ini penting dalam merangka pelan pertumbuhan masa depan Medispec dan kami berharap untuk bekerjasama erat dengan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehingga kini, Ekuinas telah melaksanakan pelaburan kumulatif dalam 42 syarikat sejak penubuhannya pada 2009, dengan jumlah pelaburan komited sebanyak RM4.4 bilion.
Pelaburan ini menjana impak positif terhadap ekonomi Malaysia secara meluas yang menjadikan jumlah kemasukan modal bersama rakan sektor swasta sebanyak RM5 bilion.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Medispec, Teng Beng Lee yakin mampu bekerjasama dengan Ekuinas untuk meneroka ke peringkat pertumbuhan seterusnya.
"Sempena ulang tahun Medispec ke-35 pada tahun ini, kami berbangga menjadi sebahagian daripada portfolio Ekuinas.
"Selain mengembangkan jenama makanan tambahan tempatan kami, Vitamode di peringkat domestik, kami juga bersedia untuk menembusi pasaran serantau di ASEAN dengan memanfaatkan kepakaran Ekuinas," katanya. - DagangNews.com