Ekuiti pemegang saham negatif, Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek Pharmaniaga | DagangNews Skip to main content

Ekuiti pemegang saham negatif, Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek Pharmaniaga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Dis - Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek Pharmaniaga Berhad berikutan ekuiti pemegang saham negatif sebanyak RM264 juta (sehingga akhir September) yang menghalang kumpulan itu daripada membayar sebarang dividen.

 

Selain itu, kerjaan juga sedang yang mencari kontrak yang memberikan lebih nilai menjadikan kumpulan itu terpaksa menawarkan kadar baharu yang lebih kompetitif.

 

Katanya, kumpulan itu juga tidak akan menyediakan sebarang peruntukan lanjut pada masa hadapan. Pharmaniaga masih menyimpan vaksin yang tidak terjual dan berjaya menjual sebahagiannya.

 

"Kumpulan itu sedang membina empat gudang baharu sebagai sebahagian daripada rancangan perbelanjaan modal RM220 juta yang akan dibiayai dengan hasil daripada terbitan hak dan penempatan peribadi saham baharu. 

 

"Ia bagi memenuhi keperluan berhubung konsesi kerajaan untuk menyediakan penghantaran ubat dan produk bukan ubat tepat pada masanya ke kemudahan kerajaan di seluruh negara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sebelum ini, kumpulan itu mengalami kerugian suku tahunan terbesarnya sebanyak RM664.39 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22).

 

Kerugian besar itu disebabkan kemerosotan RM552.3 juta daripada vaksin COVID-19, menyebabkan syarikat itu jatuh ke dalam status Nota Amalan 17 (PN17), yang memerlukan penyerahan pelan penyusunan semula.

 

Pada 3QFY23, kerugian bersih kumpulan itu adalah RM49 juta disebabkan hapus kira untuk inventori tamat tempoh iaitu peralatan pelindung diri dan jarum (RM65 juta), dan kos pembangunan produk (RM7.6 juta).

 

Dalam menangani status PN17, Pharmaniaga baru-baru ini mencadangkan pengurangan modal dan pembatalan modal saham terbitan RM180 juta, dan terbitan hak 1.18 bilion saham baharu dan 1.18 bilion waran percuma berdasarkan empat saham hak bagi setiap lima saham sedia ada, dan satu waran untuk setiap bahagian hak.

 

Selain itu, kumpulan itu juga mencadangkan penempatan persendirian sebanyak 714 juta saham baharu atau 26.9% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan selepas cadangan terbitan hak.

 

"Kenanga Research mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 31 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com