KUALA LUMPUR 24 Jan - Pelabur asing membeli bersih RM11.35 juta ekuiti tempatan minggu lalu, berbanding RM397.85 juta bersih pada minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata, ekuiti Malaysia menyaksikan aliran masuk bersih bagi minggu kedua berturut-turut pada minggu dagangan yang singkat selepas cuti pada hari Selasa disebabkan perayaan Thaipusam.
Ujarnya, ketika pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing dan peruncit masing-masing menjual RM70.04 juta dan RM18.67 juta bersih ekuiti tempatan.
"Sementara itu, institusi tempatan memulakan minggu berkenaan sebagai pembeli bersih dengan harga RM88.71 juta.
"Jualan bersih oleh dana asing diteruskan pada hari Rabu selepas cuti pada hari Selasa, walaupun pada kadar yang lebih perlahan.
"Aliran keluar bersih daripada pelabur asing ialah RM27.73 juta, yang disertai oleh institusi tempatan di mana jualan bersih berjumlah RM13.5 juta.
"Belian bersih dilakukan oleh peruncit tempatan dengan RM41.23 juta," katanya dalam laporan aliran dana mingguan MIDF Research di sini hari ini.
Tambahnya, pelabur asing menjadi pembeli bersih pada Khamis dan Jumaat dengan aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada hari Jumaat pada RM59.36 juta, diikuti oleh RM49.76 juta yang dicatatkan pada Khamis.
Ujarnya aliran keluar terbesar dicatatkan pada hari Isnin pada RM70.04 juta dengan peruncit merupakan pembeli bersih setiap hari untuk minggu tersebut kecuali pada hari Isnin.
"Belian bersih terbesar oleh peruncit dicatatkan pada hari Rabu (RM41.23 juta). Untuk minggu tersebut, peruncit membeli ekuiti bernilai RM35.30 juta di Bursa," katanya. -DagangNews.com