El Gamillo raih #CikguJuaraDigital 2021 MDEC | DagangNews Skip to main content

El Gamillo raih #CikguJuaraDigital 2021 MDEC

El Gamillo  Habibun Tan

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Bongkok, Marang, Terengganu, El Gamillo  Habibun Tan dinobatkan sebagai pemenang program #CikguJuaraDigital 2021 (#CDJ21) anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 

Dengan kemenangan ini, El Gamillo membawa pulang hadiah bernilai RM15,000 merangkumi peralatan dan kelengkapan pembelajaran untuk sekolahnya serta mendapat tempat dalam Program Pembangunan Profesional #CJD MDEC.

 

Mula dilancarkan pada 2019, #CDJ adalah program di bawah #SayaDigital MDEC melalui inisiatif #mydigitalmaker bagi mencari guru yang berjaya bangkit untuk mengatasi halangan dan seterusnya merevolusikan pendidikan melalui teknologi di Malaysia. 

 

Matlamat program ini adalah untuk meningkatkan jumlah guru yang cekap secara digital untuk menjadi Cikgu Juara Digital (Champion Digital Teacher) serta memberi inspirasi dan bimbingan kepada guru lain dalam komuniti masing-masing.

 

#mydigitalmaker adalah inisiatif berkonsep akademik hasil kerjasama awam-swasta yang bertujuan mewujudkan negara pencipta digital dengan mengubah belia Malaysia daripada sekadar menjadi pengguna digital kepada pengeluar digital.

 

Berasal dari Muar, Johor, Cikgu El Gamillo, 41, merupakan cikgu bahasa Melayu dan muzik yang telah berkecimpung dalam dunia pendidikan selama 17 tahun. 

 

Beliau juga Pakar Pendidik Inovatif Microsoft dan Guru Bertauliah Apple. El Gamillo telah menghasilkan lebih 60 video di saluran You Tubenya mengenai topik-topik pembelajaran di rumah (PdPR) serta tutorial yang merangkumi pelbagai kemahiran digital yang penting.

 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MDEC kerana menyedari usaha yang dilakukan oleh para guru. Saya juga berasa sangat bangga kerana dipilih sebagai pemenang #CJD21. 

 

"Ini merupakan peluang dan platform yang tepat untuk meningkatkan mutu golongan pendidik dalam menggunakan teknologi digital kerana kaedah penyampaian, pengajaran dan pembelajaran sangat penting ketika kita berdepan cabaran pandemik. 

 

“Pada masa sama, saya juga ingin menyeru rakan guru yang lain untuk memanfaatkan platform digital dan menjadi agen perubahan dan transformasi dalam pendidikan negara. 

 

"Ini kerana manfaatnya sangat besar dan saya akan berusaha untuk memberi inspirasi kepada gelombang pendidik digital generasi seterusnya di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

El Gamillo mempunyai lebih daripada 5,000 pengikut di akaun media sosialnya dan juga laman web menerusi www.cikguel.com yang meneroka bidang teknologi dan pendidikan.

 

 

Cikgu Digital
El Gamillo telah menghasilkan lebih 60 video di saluran You Tube, Cikgu Digital. 

 

 

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Kemahiran dan Pekerjaan Digital MDEC, Dr. Sumitra Nair berkata, #CJD tahun ini menyaksikan peningkatan penyertaan membabitkan peserta yang mempunyai pelbagai latar belakang yang unik untuk dikongsi. 

 

"Ini berlaku hasil dorongan MDEC untuk membolehkan peluang digital yang adil, mengubah ke arah Malaysia 5.0 iaitu sebuah negara yang sangat terintegrasi dengan teknologi yang memperkasakan inklusif, kelestarian dan kemakmuran bersama," jelasnya.

 

Program #CJD menyediakan program pengembangan profesional untuk pemohon terpilih yang meliputi kursus pensijilan berkaitan teknologi digital dan penyertaan di makmal pemecut dan bootcamp melalui perkongsian dengan pelbagai rakan teknologi. 

 

Para guru #CJD juga akan ditawarkan latihan melibatkan pelbagai kemahiran. Mereka kemudian akan memanfaatkan dengan melaksanakan program penyebaran teknologi digital dalam pendidikan dan mengadakan sesi latihan untuk guru lain di daerah masing-masing.

 

Pada 2019, sebanyak 5 guru dipilih sebagai #CJD dan ditambah menjadi 21 guru pada tahun lalu. 

 

Untuk edisi kali ini, lebih 180 permohonan diterima dengan 30 orang disenarai pendek yang menyaksikan El Gamillo muncul juara.

 

Seterusnya, MDEC juga menyasarkan untuk mengenal pasti dan meningkatkan jumlah guru kepada dua guru #CJD di setiap 250 daerah pendidikan di negara ini menjelang 2025 dengan jumlah keseluruhan 500 guru #CJD di seluruh negara.

 

#CJD terbuka kepada semua guru di negara ini yang berminat untuk melakukan transformasi pendidikan. 

 

Para peserta disyaratkan menjadi penyokong aktif inovasi digital dan kreativiti dan juga mesti menunjukkan penggunaan teknologi dan platform digital yang berkesan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. 

 

Mereka juga mesti aktif dalam program yang berkaitan dengan teknologi di peringkat kebangsaan dan  antarabangsa. - DagangNews.com