Elaun, skim jualan batik Rahmah mampu rangsang industri batik tempatan | DagangNews Skip to main content

Elaun, skim jualan batik Rahmah mampu rangsang industri batik tempatan

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

KEPUTUSAN kerajaan mewajibkan semua pegawai perkhidmatan awam memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis selain menggalakkan pemakaian batik pada hari bekerja lain adalah satu inisiatif yang sangat wajar dan perlu disokong sepenuhnya oleh semua penjawat awam.

 

Peraturan yang berkuat kuasa 21 Ogos 2023 ini dinyatakan dalam surat edaran 'Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan' bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

 

Ironinya memakai pakaian batik bukan perkara baharu khususnya dalam sektor awam kerana pemakaian batik Malaysia oleh pegawai perkhidmatan awam sudah dilaksanakan sejak 1985.

 

Misalnya, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021 mengenai Pemakaian Pakaian Batik Malaysia bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan menyatakan pemakaian batik Malaysia pada setiap Khamis adalah digalakkan. Selain itu pemakaian pakaian batik juga diamalkan dalam majlis-majlis rasmi dan keraian sektor awam.

 

Justeru penetapan baru ini dilihat inisiatif tambahan serampang dua mata, yakni terus menyokong dan memberi rangsangan kepada industri batik tempatan serta menyumbang kepada aspek penjimatan tenaga.

 

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, keputusan kerajaan ini mengambil kira iklim di negara ini dan juga komitmen kerajaan untuk mencapai aspirasi pembebasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal tahun 2050 dengan mengurangkan jejak karbon daripada amalan penggunaan tenaga elektrik.

 

Dalam merealisasikan hasrat kerajaan ini, diharap penjawat awam akan memberi perhatian serius kepada keperluan untuk memakai batik tempatan kerana pengamatan selama ini menunjukkan masih ramai yang suka memakai batik dari negara jiran dan ini sekali gus tidak menepati matlamat asal penetapan pemakaian batik Malaysia.


 

irsyad

 


Pihak kerajaan juga wajar menyediakan garis panduan tentang jenis batik Malaysia yang boleh dipakai sebagai panduan dan rujukan penjawat awam.

 

Di samping itu dengan adanya keputusan ini diharap penggunaan pendingin hawa di bangunan kerajaan dapat dikawal dan ditetapkan suhunya kepada 24°C hingga 25°C.

 

Walaupun sudah ada pekeliling tentang ketetapan suhu ini namun pelaksanaannya selama ini kelihatan sukar disebabkan faktor cuaca panas serta pakaian pejabat yang dikenakan selama ini.

 

Jadi dengan kebenaran memakai batik pada setiap hari bekerja diharap kita dapat mengawal suhu pendingin hawa tersebut sekali gus menyumbang kepada penjimatan tenaga dan mengurangkan jejak karbon daripada penggunaan tenaga elektrik yakni akhirnya akan turut menyumbang kepada penjimatan perbelanjaan bil utiliti jabatan kerajaan.

 

Selaras dengan ketetapan baru ini, bagi menyuntik semangat penjawat awam diharap pihak kerajaan dapat melaksanakan beberapa inisiatif tambahan.

 

Antaranya, kerajaan wajar memperkenalkan Skim Jualan Batik Rahmah yang mampu menyediakan penjualan pakaian batik pada harga mampu milik.

 

Hal ini penting kerana secara relatifnya harga batik tempatan yang berkualiti baik agak bernilai tinggi terutamanya untuk golongan wanita maka ini boleh membantutkan hasrat penjawat awam yang mahu membeli batik tempatan.

 

 

parafrasa

 

 

Tambahan pula jika hendak memakai batik untuk beberapa hari dalam seminggu mereka perlu membeli dalam kuantiti yang lebih banyak.

 

Justeru wajar diperkenalkan Skim Jualan Batik Rahmah sebagai inisiatif galakkan untuk penjawat awam membeli batik dan menyokong industri batik tempatan.

 

Kita tidak mahu isu harga dijadikan alasan oleh segelintir penjawat awam untuk tidak memakai batik. Orang awam yang berminat juga akan terdorong untuk membeli batik jika ada skim jualan mampu milik seperti ini.

 

Selain itu, memandangkan pemakaian batik kini telah diwajibkan maka adalah dicadangkan agar pihak kerajaan juga memberikan elaun baju batik kepada semua penjawat awam umpama elaun pakaian seragam.

 

Misalnya, sekurang-kurangnya wajar diberi elaun untuk menampung pembelian satu pasang pakaian batik untuk setahun pada kadar harga pasaran yang bersesuaian.

 

Percayalah kedua-dua inisiatif ini, yakni Skim Jualan Batik Rahmah serta elaun baju batik akan membantu meringankan beban kewangan golongan rentan dalam kalangan penjawat awam khususnya dari kategori berpendapatan rendah dan sederhana.


 

parafrasa

 


Kita tidak mahu penjawat awam melihat ketetapan ini sebagai satu beban tambahan baharu yang menambah kos sara hidup mereka.

 

Pada masa yang sama, bagi menyokong industri batik dan penjimatan tenaga secara menyeluruh di negara ini, ketetapan pemakaian batik juga wajar diperluaskan kepada sektor korporat dan swasta.

 

Hal ini penting kerana bilangan mereka lebih ramai sekali gus akan memberi impak yang lebih signifikan. Diharap para majikan sektor korporat dan swasta turut menyahut dan menyokong seruan serta hasrat kerajaan ini. - DagangNews.com

 

 

NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED adalah Timbalan Pengarah Pusat KoKurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia