KUALA LUMPUR 21 Julai - Nilai emas melonjak hari ini sehingga mencecah paras tertinggi sejak sembilan tahun lalu, didorong oleh perasaan bimbang dalam kalangan pembeli akibat penularan COVID-19.
Permintaan terhadap aset itu juga meningkat susulan ramai menjangkakan inflasi bakal berlaku selepas pelbagai langkah rangsangan ekonomi diambil oleh negara-negara besar.
Memetik laporan Reuters, emas Spot meningkat sebanyak 0.1% sekali gus mencatatkan nilai AS$1,817.23 (RM7,744.13) setiap auns pada 11 pagi tadi (0300 GMT) setelah mencapai paras tertinggi sejak September 2011 pada AS $ 1,820.06 semalam.
Susulan itu, niaga hadapan emas Amerika Syarikat menyaksikan sedikit perubahan dengan nilai AS$1,817.80.
Melihatkan situasi itu, Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata: “Pakej rangsangan ekonomi telah mendorong peningkatan harga pasaran emas dan ia dijangka berterusan. Ini sesuatu yang menarik.”
Semalam, pemimpin Kesatuan Eropah bersetuju untuk menandatangani sebuah perjanjian pelan rangsangan bernilai €750 billion (RM3.66 trilion) untuk ekonomi sejagat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Dalam masa sama, Republikan AS pula mengumumkan rancangan peruntukan sebanyak AS$1 trilion bagi menyuntik ekonomi negara.
Seiring pengumuman itu, ramai beranggapan pakej rangsangan terbabit mampu menyebabkan inflasi.
Hal ini sekali gus melonjakkan permintaan terhadap pemilikan emas yang sering dikaitkan sebagai pelindung nilai kepada penurunan mata wang seterusnya meningkatkan nilai aset itu.
Selain emas Spot, SPDR Gold Trust meningkat sebanyak 0.4% sekali gus mencatatkan 1,211.86 tan.
Nilai perak juga meningkat sehingga AS$19.95 iaitu sebanyak 0.2%, paras tertinggi sejak September 2016.
Paladium pula kekal berada pada nilai AS$2,055.35 setiap auns manakala, platinum menurun sebanyak 0.3% kepada AS$841.57. - DagangNews.com