KUALA LUMPUR 22 Feb - Firma Embraer Defense and Security (Embraer) mengintai peluang untuk menawarkan pesawat pengangkut termoden, C-390 kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menggantikan C-130 Hercules.
Pesawat buatan Brazil itu antara yang menjadi tumpuan pada Pameran Udara Singapura 2024 yang sedang berlangsung di Changi.
TUDM ketika ini mengoperasikan 15 pesawat pengangkut taktikal Hercules C-130H
Sebahagian besarnya digunakan sejak tahun 1976 manakala selebihnya varian yang diterima antara tahun 1993 hingga 2002.
Walaupun Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan C-130 Hercules akan terus digunakan sehingga tahun 2040, namun ia boleh berubah.
Mindef menetapkan bahawa program penggantian C-130 Hercules akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dalam Rancangan Malaysia Ke-16 (RMK-16) antara tahun 2040-2045.
Tempoh 16 tahun ini panjang, jika TUDM kekal mengoperasikan Hercules ia memerlukan aspek penyelenggaraan yang baik terutamanya pada pesawat yang berusia lebih 40 tahun.
Ketika ini firma Embraer belum membuat kenyataan berhubung penawaran C-390 ini tetapi dipercayai usaha ke arah itu sedang dilakukan wakil syarikat tempatan.
Difahamkan, ada perbincangan mengenai program ini termasuk melibatkan wakil-wakil agensi tertentu.
Kehadiran C-390 di Singapura juga adalah sebahagian daripada misi jelajah Embraer terbang ke beberapa negara di dunia.
Firma itu baru-baru ini telah memenangi kontrak dengan Korea Selatan bagi memilih pesawat pengangkut saiz sederhana.
Kejayaan memasarkan pesawat itu di sana membuka banyak peluang untuk C-390 di rantau Asia-Pasifik.
Embraer kini telah menghantar enam buah pesawat C-390 kepada Tentera Udara Brazil, yang telah mengisytiharkan keupayaan operasi penuh dengan pesawat itu.
Pesawat pertama juga telah dihantar ke Portugal manakala pesawat pertama milik tentera udara Hungary membuat penerbangan sulungnya di Brazil.
Setakat ini, C-390 telah dipilih oleh Austria sebanyak 4 pesawat, Brazil (19), Republik Czech (2), Hungary (2), Belanda (5), Portugal (5) dan Korea Selatan (jumlah tidak didedahkan).
Terbaru, pengeluar Brazil itu telah menandatangani perjanjian dengan Mahindra Aerospace bagi menawarkan C-390 untuk projek Pesawat Pengangkutan Sederhana (MTA) Tentera Udara India.
Embraer sedang membina 12 pesawat setahun yang mana kemudahan firma itu di Gavião Peixoto, Brazil mampu meningkatkan sehingga 18 buah C-390 setahun untuk memenuhi permintaan yang dijangkakan.
Jika dibandingkan dengan Hercules C-130J, KC-390 adalah 15% lebih pantas, membawa kargo 18% lebih berat dan kos pembelian 41% lebih rendah.
Walaupun mempunyai julat 15% lebih rendah daripada C-130J, kemampuan untuk mengisi bahan api di udara sebagai ciri standard pesawat C-390 memberi kelebihan.
Ini kerana hanya beberapa varian khusus C-130 mempunyai keupayaan sedemikian.
C-390 sebagai pesawat pengangkut pelbagai misi adalah pilihan terbaik untuk kebanyakan negara kerana ia melaksanakan pelbagai tugas daripada pengangkutan kargo dan tentera kepada pemindahan perubatan.
Keupayaan lain seperti penerbangan mencari dan menyelamat, mengisi bahan api (pesawat pejuang dan helikopter), memadam kebakaran dari udara dan bantuan kemanusiaan.
Embraer mendakwa C-390 boleh membawa lebih banyak muatan (26 tan) berbanding pesawat kargo tentera bersaiz sederhana lain dan terbang lebih laju (870 km/j) dan lebih jauh.
Reka bentuk digital dan teknik pembuatan ditambah dengan reka bentuk aerodinamik, teknologi penerbangan terkini menyumbang kepada kecekapan dan prestasi tinggi.
Dilengkapi dua enjin jet IAE V2500 komersial bermakna kurang penyelenggaraan.
Tambahan pula, pesawat itu dilengkapi dengan sistem pertahanan diri yang komprehensif.
Ini termasuk penerima amaran radar, penerima amaran laser, sistem amaran tembakan peluru berpandu dan mempunyai sistem suaran.
Ia juga mempunyai sistem pengendalian kargo termaju yang membolehkan proses muatan dan pemunggahan kargo lebih cepat. - DagangNews.com