EMCC tambah 2 lagi Pajaking, sasar lagi 5 sebelum akhir tahun 2024 | DagangNews Skip to main content

EMCC tambah 2 lagi Pajaking, sasar lagi 5 sebelum akhir tahun 2024

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Jan - Evergreen Max Cash Capital Bhd (EMCC) mengukuhkan kedudukan dalam pasaran pajak gadai dengan pemerolehan strategik dua kedai pajak gadai yang terletak di Sri Petaling, Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor.

 

Kedua-dua kedai pajak gadai itu terletak di lokasi strategik dan mempunyai trafik pejalan kaki yang tinggi sekali gus memastikan capaian pasaran yang optimum.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, EMCC memaklumkan, pengambilalihan ini juga sejajar dengan matlamat syarikat untuk mengembangkan rangkaian pajak gadai yang berjumlah 24 Pajaking buat masa ini.

 

Pengarah Urusan Kumpulan EMCC, Datuk Low Kok Chuan berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk menambah lima lagi kedai pajak gadai menjelang akhir tahun ini.

 

Katanya, perluasan rangkaian EMCC ini adalah hasil daripada Tawaran Awam Permulaan (IPO) baru-baru ini.

 

"Strategi memperoleh pajak gadai yang menguntungkan sejajar dengan objektif pertumbuhan syarikat dan memberi kami kelebihan untuk menyepadukan pajak gadai yang beroperasi sepenuhnya ke dalam rangkaian EMCC. 

 

"Di samping menambah pendapatan, pengambilalihan ini juga menjimatkan masa berbanding terpaksa membina rangkaian pelanggan baharu apabila membuka kedai pajak gadai baharu,” katanya.

 

emas

 

Menurut Kok Chuan, pengambilalihan keseluruhan pegangan ekuiti dua premis tersebut iaitu Pajak Gadai Pajamas Sdn Bhd dan Pajak Gadai Sri Petaling Sdn Bhd dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan Kumpulan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024.

 

Jelasnya, pengambilalihan dua premis tersebut melibatkan RM5.5 juta dan telah selesai pada 14 November 2023.

 

"Kami optimis tentang industri pajak gadai dan kekal komited untuk mengekalkan standard perkhidmatan pelanggan EMCC yang tinggi untuk menarik dan mengekalkan pelanggan,” ujarnya.

 

Ditubuhkan pada 2012, EMCC beroperasi terutamanya dalam perniagaan pajak gadai melalui rangkaian 24 pajak gadai “Pajaking” yang terletak di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
 


EMCC baru-baru ini disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad dan berjaya mengumpul RM64.2 juta yang majoritinya akan digunakan untuk pembesaran pajak gadai dan sebagai modal tunai untuk perniagaan pajak gadai.- DagangNews.com