Empat stesen pengecas EV mudah alih ditambah di Lebuhraya PLUS tahun ini bagi kemudahan pengguna | DagangNews Skip to main content

Empat stesen pengecas EV mudah alih ditambah di Lebuhraya PLUS tahun ini bagi kemudahan pengguna

Alexander (tengah) dan Mohamad Nasir (dua dari kiri) sewaktu merasmikan stesen pengecasan EV modular di Hentian Sebelah Behrang arah utara dekat Tanjung Malim.
Oleh Zaki Salleh

TANJUNG MALIM 17 Okt - Empat lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan telah diluluskan bagi menempatkan stesen pengecas pantas kenderaan elektrik (EV) modular mudah alih bagi tahun ini.

 

Antaranya di Hentian Sebelah Behrang di Perak dan Hentian Sebelah Senawang, Negeri Sembilan yang kesemuanya melibatkan kedua-dua arah utara dan selatan.

 

Bagaimana pun ketika ini hanya satu stesen telah beroperasi iaitu Hentian Sebelah Behrang arah utara.

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kemudahan itu membolehkan pengguna EV mengecas kenderaan di lokasi strategik ketika melalui lebuh raya tersebut.

 

Penerangan
Alexander diberi penerangan tentang kemudahan pada stesen pengecasan EV modular.

 

Menurut beliau, setiap tapak akan mempunyai kapasiti pengecasan DC 300kW yang menyediakan empat poin pengecasan.

 

"Saya yakin dengan usahasama semua pihak, pelancaran stesen pengecas pantas EV elektrik modular mudah alih ini akan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan ekosistem tersebut.

 

"Pengguna EV akan dapat menikmati suasana perjalanan yang lebih selamat dan selesa," katanya pada majlis pelancaran stesen pengecas EV di Hentian Sebelah Behrang arah utara di sini.

 

Pembangunan stesen itu merupakan kerjasama antara PLUS selaku pengendali lebuh raya tersebut serta syarikat teknologi, Gentari Green Mobility Sdn. Bhd.  dan EV Connection Sdn. Bhd. 

 

Stesen
Penyediaan stesen pengecasan EV modular menambahkan lagi kepelbagaian kemudahan di kawasan hentian lebuh raya.

 

Keunikan stesen EV ini adalah pemasangan secara mudah alih selain boleh menggunakan tenaga solar serta disokong dengan sistem penyimpanan tenaga bateri.

 

Jelas Alexander lagi, sebanyak tiga lokasi stesen pengecasan EV serupa akan dibangunkan pada tahun hadapan.

 

Lokasinya adalah di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ajil (kedua-dua arah) dan Perasing di Lebuhraya Pantai Timur 2, Terengganu.

 

"Kementerian merancang menyediakan lebih banyak stesen pengecasan kenderaan EV ini berikutan penggunaan kenderaan tersebut semakin meningkat," ujarnya.

 

Stesen

 

Sementara itu, Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk menyediakan 100 stesen pengecas pantas arus terus (DCFC) di rangkaian lebuh raya PLUS menjelang tahun 2025.

 

Ketika ini sebanyak 22 stesen DCFC disediakan sepanjang lebuh raya kendaliannya yang menyumbang kepada kira-kira 17 peratus daripada jumlah kemudahan DCFC di Malaysia.- DagangNews.com