EMPP sedia salurkan 2,242 MW bekalan elektrik kepada grid nasional | DagangNews Skip to main content

EMPP sedia salurkan 2,242 MW bekalan elektrik kepada grid nasional

ALOR GAJAH 31 Mac - Edra Melaka Power Plant (EMPP) yang merupakan stesen Turbin Gas Kitaran Bergabung (CCGT) terbesar Asia Tenggara sedia menyalurkan 2,242 MW bekalan elektrik kepada grid nasional.

 

Stesen jana kuasa CCGT yang mampu mengurangkan pelepasan karbon, merangkumi tiga unit gas turbin di mana unit terakhir telah berjaya mencapai tarikh operasi komersial (COD) pada tengah malam 28 Februari 2022.

 
Unit pertama dan kedua EMPP telah mencapai COD masing-masing pada 16 Disember 2021 dan 31 Januari 2022.  
 

Pengerusi Edra, Dai Honggang berkata, projek berkenaan akan menyumbang secara signifikan kepada keperluan tenaga negara dan akan memberi kesan limpahan ekonomi selain menarik pelaburan baharu untuk melonjakkan pembangunan di Melaka.

 

“Projek ini siap tepat pada masa ketika permintaan elektrik telah menunjukkan peningkatan seiring dengan pembukaan semula ekonomi untuk menyokong peralihan negara ke fasa endemik Covid-19. Sumbangan EMPP kepada kapasiti penjanaan negara sudah tentu akan melengkapi pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi.
 

“Hasil usaha kerjasama dan sokongan daripada pihak berkepentingan kami yang merangkumi pengawal selia, pihak berkuasa serta rakan-rakan kongsi kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC) dan kontraktor kami adalah tulang belakang penting kepada kejayaan penyempurnaan EMPP. 

 

“Kami di Edra akan terus memastikan EMPP menyediakan bekalan tenaga yang selamat dan bersih kepada rakyat Melaka dan Semenanjung Malaysia dengan cekap, terjamin dan piawaian keselamatan yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, stesen jana kuasa itu akan menjana kira-kira 19.6 bilion kWh elektrik setahun, menyumbang dengan anggaran 12% daripada jumlah permintaan tenaga di Semenanjung Malaysia, bersamaan menyalurkan bekalan tenaga sehingga 4 juta kediaman untuk 21 tahun akan datang.


 

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr. Sulaiman Md. Ali berkata, pihaknya berbesar hati kerana menjadi tuan rumah kepada stesen janakuasa CCGT yang terbesar di Asia Tenggara dan infrastruktur ini memberikan keyakinan kepada pelabur berpotensi dan sedia ada untuk menjadikan Melaka  sebagai destinasi pelaburan pilihan sekali gus menjadikan negeri itu sebagai pusat pertumbuhan baharu.
  

“Lokasi operasi EMPP yang strategik di Alor Gajah bakal meletakkan Melaka pada trajektori positif pada jangka masa panjang, untuk memacu ekonomi ke tahap yang lebih tinggi serta membawa impak yang boleh dinikmati di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com