Enam lokasi dibuka untuk melawat kapal perang sempena Hari TLDM  | DagangNews Skip to main content

Enam lokasi dibuka untuk melawat kapal perang sempena Hari TLDM 

Orang ramai boleh melawat kapal-kapal perang TLDM yang berlabuh di tambatan masing-masing sempena sambutan Hari TLDM.
Oleh ZAKI SALLEH 

LUMUT 26 April - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat lebih dekat aset-aset sedia ada angkatan tersebut sempena Hari TLDM ke-89 bermula esok.

 

Kapal-kapal perang ini akan dibuka untuk dikunjungi orang ramai apabila berlabuh di tambatan pangkalan masing-masing.

 

Antaranya di tambatan Pangkalan Lumut di Perak, Pangkalan Pulau Langkawi (Kedah), Pangkalan Pulau Indah (Selangor), Pangkalan Tanjung Pengelih (Johor), Pangkalan Kuantan (Pahang) dan Swettenham Pier Cruise Terminal (Pulau Pinang).

 

Acara yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis ini juga boleh digunakan ibu bapa membawa anak-anak mengisi cuti persekolahan mereka.

 

Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dalam kenyataan memberitahu, pelbagai aktiviti yang dianjurkan pada hari itu juga bertujuan mendekatkan 'Navy People' dengan masyarakat.

 

Menurut kenyataan tersebut, program bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang ini hanya kepada warga tempatan sahaja dan masuk adalah percuma.

 

"Sempena Hari Ulang Tahun TLDM Ke-89 tahun ini, kami bawakan kapal-kapal TLDM ke tempat anda.

 

 

tldm

 

 

"Turut diadakan ialah gerai jualan cenderahati barangan TLDM.

 

"Ayuh beramai-ramai memeriahkan hari terbuka kapal TLDM di lokasi yang dinyatakan," ujar kenyataan itu.

 

Jelas kenyataan tersebut, pengunjung diminta mengenakan pakaian bersesuaian serta elakkan memakai kasut bertumit tinggi dan berjubah labuh.

 

 

tldm
Kapal latihan Gagah Samudera akan berlabuh di Swettenham Pier Cruise Terminal, Pulau Pinang untuk dilawati.

 

 

Ini kerana terdapat beberapa kawasan di atas kapal yang memerlukan pengunjung menaiki tangga dan merentasi 'gangway'. 

 

Pengunjung juga dilarang memakai pakaian yang melambangkan parti politik dan unsur-unsur sensitif manakala kanak-kanak dilarang masuk sekiranya tiada pengawasan dewasa.

 

Semasa hari terbuka TLDM bersempena Sambutan Hari Armada di Pangkalan TLDM Lumut pada Disember lalu, ia telah menarik kira-kira 60,000 pengunjung. - DagangNews.com