KUALA LUMPUR 30 Sept – Encorp Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Encorp Construction & Engineering Sdn Bhd (ECESB) memeterai perjanjian dengan LMC Mining Sdn Bhd untuk menjalankan pengagihan silika di atas tanah seluas 97.7 ekar di Kinta, Perak dan tanah seluas 100 ekar di Kuantan, Pahang.
Elemen utama perjanjian itu ialah LMC mempunyai hak untuk melombong silika di dua kawasan kontrak dan Encorp diberikan hak untuk mengagihkan semua silika yang dihasilkan daripada kawasan kontrak bernilai lebih RM50 juta.
Operasi perlombongan dijangka bermula pada suku pertama 2023. Kedua-dua lokasi akan beroperasi untuk tempoh 24 bulan dan kerja-kerja pemulihan perlombongan akan dilaksanakan serentak dalam tempoh operasi.
Dalam kenyatan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Encorp, Hazurin Harun berkata, penyertaan kumpulan dalam perjanjian itu, berfungsi sebagai platform untuk Eencorp menceburi industri perlombongan khususnya perlombongan silika.
Katanya, ia adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mempelbagaikan pendapatannya daripada asas pembangunan hartanahnya dan memanfaatkan industri yang mempunyai potensi masa depan yang besar.
"Kami gembira dapat bekerjasama dengan LMC yang mempunyai keupayaan teknikal dan pengalaman dalam industri ini.
"Ia akan membantu Encorp mempercepatkan penglibatan di mana kami menjalankan operasi, memaksimumkan kecekapan keseluruhan dan mencapai keuntungan," katanya. - DagangNews.com