Entiti tanpa 'hubungan politik' jadikan dagangan Bursa Malaysia rancak dengan sentimen PRU15 | DagangNews Skip to main content

Entiti tanpa 'hubungan politik' jadikan dagangan Bursa Malaysia rancak dengan sentimen PRU15

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Okt - Bursa Malaysia Bhd. dijangka terus meraih manfaat daripada 'kerancakan' pasaran yang disuntik sentimen pilihan raya umum ke-15 (PRU) terutama menjelang hari pengudian pada 19 November ini di sebalik tekanan ketidaktentuan luaran. 

 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Jeremy Goh berkata, dua daripada tiga pilihan raya sebelum ini, PRU14 dan PRU13 menyaksikan purata nilai dagangan harian (ADV) masing-masing melonjak 54.5% dan 52.4% dalam tempoh lebih sebulan selepas hari pengundian berbanding sebulan sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, katanya, ketika PRU12, dagangan susut 13.9% dalam tempoh sebulan, disebabkan berlakunya krisis kewangan global. 

 

"Permodalan pasaran Bursa Malaysia (dan juga harga saham) mempunyai hubungan yang erat dengan ADV pada 78% berdasarkan kepada data sebulan selepas krisis kewangan tersebut.

 

"Tetapi, kami berpendapat, Bursa Malaysia sebagai proksi bagi pilihan raya yang tidak berpolitik,  ia mendapat manfaat melalui rangsangan ADV tetapi tanpa 'hubungan politik', menjadikan ini dagangan yang agak menarik," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15 dengan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala hari pengundian awal ialah pada 15 November ini.

 

Minggu lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa 10 Oktober 2022 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada pilihan raya.

 

Perdana Menteri membuat pengumuman itu setelah kerajaan selesai membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu yang menyaksikan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion.

 

Menurut Goh, ADV bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dianggarkan sebanyak RM2.06 bilion, susut 42% tahun ke tahun, yang mencerminkan pemulihan berurutan pada suku keempat pada RM1.87 bilion, terdapat peningkatan yang munasabah sekiranya ADV pasca PRU15 meningkatkan tesis ramalan.

 

Namun, beliau menyemak naik penarafan saham Bursa Malaysia kepada 'beli' berbanding 'jual' sebelum ini pada harga sasaran lebih tinggi, RM7 daripada RM5.65 sesaham sebelum ini. 

 

Pada masa sama, Goh mendapati penghindaran risiko pelabur terus meningkat memandangkan halangan luaran yang lebih luas berpunca daripada pengetatan agresif Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), ketidaktentuan tenaga di negara-negara Kesatuan Eropah, perang Rusia-Ukraine dan dasar sifar COVID-19 di China.

 

"Oleh itu, kami menganggarkan hasil Bursa Malaysia pada suku ketiga ini lebih lemah sebanyak RM52 juta, susut 12.1% suku ke suku dan 34.6% tahun ke tahun. 

 

"Jika ia memenuhi andaian kami, ia akan menyaksikan hasil bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 sebanyak RM180 juta, merangkumi 79% daripada anggaran tahun penuh kami," katanya.

 

Setakat 10.57 pagi, harga sahamnya menokok 15 sen atau 2.5% kepada RM6.15 dengan 1.06 juta saham diniagakan. - DagangNews.com