EON mula jual jenama Proton | DagangNews Skip to main content

EON mula jual jenama Proton

Proton X50

Oleh MUHAMMAD ARIF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Syarikat edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) mengumumkan permulaanya dalam perniagaan edaran Proton sekali gus meletakkan jenama tersebut di bawah naungannya.

EON dalam satu kenyataan berkata, perkara itu adalah bersempena dengan pelancaran logo baharu syarikat buat kali ke tiga.

"EON kini mengendalikan sembilan pusat pengedaran PROTON, setelah mengambil alih cawangan-cawangan tersebut dari PROTON Edar Sdn. Bhd. 

"Ini termasuk empat pusat 4S (penjualan, servis, alat ganti, badan dan cat) dan tiga cawangan 3S. 

"Empat cawangan ini berada di wilayah tengah, sementara dua cawangan masing-masing di Johor dan Pulau Pinang," jelas EON.

 

Berikut merupakan sembilan cawangan di bawah pengurusan EON;

Sembilan cawangan di bawah pengurusan EON

 

Mengulas berkaitan dengan loho syarikat baharu, EON memberitahu, ini merupakan kali ke tiga penjenamaan semula EON, yang ditubuhkan pada tahun 1984 sebagai pengedar eksklusif kereta Proton di Malaysia.

Pada tahun 1990, perubahan kecil pada logo dibuat sempena penyenaraian EON di Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, EON telah dinyahsenaraikan dari Bursa Malaysia sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula syarikat.

 

Logo baharu EON.
Logo baharu EON.

 

Logo yang baharu ini merupakan perubahan menyeluruh dari logo EON sebelumnya, dengan penampilan yang lebih garang dan moden. 

Huruf ‘E’ berwarna merah terletak di dalam bentuk berlian biru melambangkan langkah syarikat untuk maju ke hadapan. 

Akronim syarikat "EON" juga muncul pada font yang lebih moden yang menandakan kematangan usia jenama itu setelah lebih 30 tahun berkecimpung dalam pengedaran automotif di Malaysia.

"'E' berwarna merah melambangkan keberanian jenama yang mengedar beberapa jenama automotif di Malaysia. 

"Berlian biru mengambarkan kekuatan 36 tahun sebuah jenama yang kekal utuh, selain ciri-ciri yang lazimnya dikaitkan dengan warna biru: kesetiaan dan kebijaksanaan," ujar EON lagi. - DagangNews.com