EON & Sahabat Fest 2024 tawar hadiah bernilai RM100,000 dan Proton S70 kepada pengunjung | DagangNews Skip to main content

EON & Sahabat Fest 2024 tawar hadiah bernilai RM100,000 dan Proton S70 kepada pengunjung

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Feb - Acara tahunan terbesar, EON & Sahabat AutoFest 2024 menawarkan hadiah bernilai RM100,000 dan Proton S70 kepada pelanggan yang membuat tempahan serta memohon pembiayaan kereta baharu melalui platform digital EON di acara tersebut.

 

Acara tersebut akan berlangsung bermula 1 Mac 2024 hingga 3 Mac 2024, dari 10 pagi hingga 6 petang di Ibu Pejabat EON di Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

 

Ketua Pegawai Eksekutif EON Bhd, Akkbar Danial berkata, penganjuran EON & Sahabat AutoFest 2024 adalah istimewa kerana ia bersempena dengan ulang tahun EON ke-40, di samping tawaran diskaun, promosi dan pakej istimewa yang menarik.

 

"Kami sedang merevolusikan pengalaman pembelian kereta dengan platform digital baharu yang akan memberi pelanggan kami merasai pembelian sebenar yang lancar, pantas dan tanpa kerumitan. 

 

"Aplikasi digital ini memudahkan permohonan pembiayaan secara serta-merta yang mana anda berpotensi memandu pulang kereta baharu pada penghujung hari yang sama," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, barisan kereta yang menakjubkan termasuk pelbagai model jenama popular Proton, Honda, Isuzu, Daihatsu, Audi dan Volkswagen akan dipamerkan di bawah satu bumbung dan tersedia untuk ujian pemanduan dan tempahan. 

 

Katanya, turut tersedia untuk pelanggan yang berminat ialah Proton S70 yang dilancarkan baru-baru ini serta kenderaan elektrik smart #1, termasuk varian Brabus.

 

 

eon

 

 

"Penggemar motosikal juga turut berpeluang melihat dan memiliki motosikal idaman mereka dengan kehadiran Modenas dan Kawasaki yang akan menampilkan tawaran terbaharu mereka," katanya.

 

Selain itu katanya, bagi memudahkan pemilikan kereta baharu, kemudahan tukar beli juga disediakan dengan tawaran istimewa untuk permohonan insurans. 

 

"Perkhidmatan pakej pembersihan kereta juga akan ditawarkan untuk mereka yang ingin menjadikan kenderaan mereka tampak lebih kemas dan terjaga rapi," katanya.

 

Katanya, acara yang berlangsung selama tiga hari itu turut mempamerkan produk dan perkhidmatan daripada AVIS Car Rental, Puspakom, Pos Malaysia, dan Petromin Express, sebuah pusat servis kereta pantas. 

 

Di samping itu katanya, wakil dari DRB-Hicom University of Automotive Malaysia akan membimbing bakal pelajar yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi berkaitan dengan industri automotif dan lain-lain. - DagangNews.com