EP Manufacturing buka kilang pengeluaran tempat duduk bernilai RM30 juta bagi kegunaan pengeluaran kereta Proton di Tanjung Malim | DagangNews Skip to main content

EP Manufacturing buka kilang pengeluaran tempat duduk bernilai RM30 juta bagi kegunaan pengeluaran kereta Proton di Tanjung Malim

Ahmad Razlan Mohamaed (dua dari kiri) bersama Datuk Seri Saarani Mohamad (tiga dari kiri) ketika pembukaan kilang pengeluaran tempat duduk kereta baharu di Tanjung Malim.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Okt - EP Manufacturing Berhad mengumumkan pembukaan kilang pengeluaran tempat duduk kereta baharu bernilai RM30 juta di Tanjung Malim.

 

Kilang ini dijangka memainkan peranan penting dalam pengeluaran kenderaan akan datang Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd (Proton) bagi ratusan ribu pelanggan di Malaysia dan ASEAN.

 

Kemudahan yang terletak hanya 2.5 kilometer dari kilang Proton di Tanjung Malim, dengan dua pemegang saham utama Proton, DRB-HICOM Berhad dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely), sedang membangunkan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV ) iaitu sebuah hab global bagi pengeluaran kenderaan tenaga baharu (NEV).

 

Kilang pengeluaran tempat duduk kereta EP Manufacturing mempunyai kapasiti awal untuk mengeluarkan 150,000 set tempat duduk kereta setiap tahun dan akan memenuhi keperluan Proton bagi pengeluaran kenderaan yang akan datang.

 

Projek membangunkan kilang ini melibatkan perkongsian teknikal antara EPMB dan pengeluar alat ganti kenderaan China Zhejiang Jujin Automobile & Motor-cycle Accessories Co., Ltd., yang kini membekalkan tempat duduk kereta kepada Geely.

 

Pelancaran kilang tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EP Manufacturing,  Ahmad Razlan Mohamed pembukaan kilang itu adalah langkah kritikal dalam kerjasama kumpulan dengan Proton, yang telah berlangsung hampir empat dekad. 

 

Beliau berkata, ini adalah kali pertama kumpulan itu melibatkan diri dalam pengeluaran dan pemasangan tempat duduk, dan mereka berbesar hati kerana Proton memberi peluang itu. 

 

"Kami komited sepenuhnya kepada kejayaan Proton dalam mencapai sasaran mereka, serta pelan hala tuju Proton di pasaran NEV. 

 

"Bagi EP Manufacturing pula, usaha ini akan membolehkan kami mempelbagaikan perniagaan kami daripada pengeluaran produk logam dan plastik, dan membuka aliran perniagaan baru dengan potensi pertumbuhan yang besar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. - DagangNews.com