EPIC Solar rancang perluaskan rangkaian perkhidmatan tenaga boleh diperbaharui di Terengganu | DagangNews Skip to main content

EPIC Solar rancang perluaskan rangkaian perkhidmatan tenaga boleh diperbaharui di Terengganu

Ahli-ahli Lembaga Pengarah, kepimpinan tertinggi syarikat dan warga kerja yang hadir ke Majlis Meraikan 150,000 Jam Bekerja Tanpa Kemalangan di Ladang Solar, Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai - EPIC Solar Sdn Bhd, anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), yang melibatkan diri dalam pembangunan Stesen Janakuasa Solar Berskala Besar Fotovoltaik (LSSPV) berhasrat untuk memperluas rangkaian perkhidmatan. 

 

Ini selari dengan misi syarikat bagi mengetengahkan sumber tenaga solar dan teknologi hijau. 

 

Perkara tersebut ditegaskan oleh Pengerusi ESSB, Dr. Mamad Puteh ketika merasmikan Majlis Meraikan 150,000 Jam Bekerja Tanpa Kemalangan (LTI-Free) di Ladang Solar milik EPIC Berhad di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman pada Ahad. 

 

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ts. Muhtar Suhaili, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, ahli-ahli Lembaga Pengarah dan kepimpinan tertinggi syarikat. 

 

“ESSB yang juga menjadi perintis dan pemacu projek solar di Pantai Timur merupakan syarikat pertama di Negeri Terengganu mempunyai ladang solar berkeluasan 70 ekar di kawasan perindustrian di sini. 

 

“Loji janakuasa ini menghasilkan sehingga 18.5 megawatt (MW) tenaga elektrik yang dibekalkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui grid nasional selama 21 tahun sehingga 2039, hasil Perjanjian Pembelian Kuasa atau Power Purchase Agreement (PPA) yang ditandatangani antara kedua-dua organisasi pada 2017”, ujar Dr. Mamad.

 

Sementara itu, Ketua Syarikat ESSB, Azman Muda pula berkata, syarikat mengorak langkah menambah baik dan mempelbagaikan perkhidmatan demi menyokong aspirasi Malaysia mencapai 40% tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2035, serta kekal menjana perubahan mampan perniagaan. 

 

Bertepatan dengan aspirasi untuk menjadikan Pelabuhan Kemaman sebagai sebuah pelabuhan hijau atau green port, ESBB turut menyediakan kemudahan dijanakuasakan tenaga solar, terutamanya bagi membantu operasi anak-anak syarikat EPIC Berhad. 

 

Ini termasuk pemasangan lampu jalan solar dan lampu limpah solar di terminal Dermaga Timur atau East Wharf kelolaan Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd dan di dermaga yang diuruskan oleh Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd, selain beberapa lagi khidmat sokongan yang sedang dalam perancangan. 

 

Perkhidmatan ini juga dilanjutkan kepada penyewa-penyewa utama di Pangkalan Bekalan Kemaman. 

 

Petronas Carigali Sdn Bhd adalah antara penyewa yang telah menggunakan khidmat ESSB untuk pemasangan lampu jalan solar dan lampu limpah solar ini. 

 

Hasil kerjasama strategik bersama Kolej Universiti TATI, pasukan ESSB tahun lalu berjaya melancarkan “EPIC Solar Car” (ESCAR), inovasi kenderaan ringan kereta buggy yang biasanya digunakan di kelab-kelab golf, industri perhotelan dan kawasan pelancongan. 

 

Ia mengguna pakai tenaga elektrik dijanakuasakan oleh tenaga solar yang disimpan dalam bateri, justeru menjadikannya sebuah alternatif mesra alam kepada kenderaan konvensional berasaskan petrol. 

 

ESCAR dapat membuat pengecasan elektrik secara automatik selagi wujud sumber cahaya matahari, sekali gus membantu penjimatan kos. 

 

“ESCAR pada awalnya dirangka untuk kegunaan operasi di Ladang Solar ESSB, namun penggunaannya telah diperluas ke premis operasi beberapa anak syarikat EPIC Berhad iaitu Kuala Terengganu Support Base, KPKSB dan Sukma Samudra Sdn Bhd. 

 

“Perancangan terkini buat inovasi tersebut adalah untuk dikomersialkan sebagai kenderaan industri pelancongan. Kenderaan ini juga akan ditambah baik untuk meningkatkan kapasiti dan ciri-ciri sedia ada, termasuklah pemantauan masa nyata bateri dan Sistem Penentududukan Global (GPS),” tambah Azman. 

 

Selain penawaran sedia ada lain seperti pengurusan projek, khidmat perundingan dan pembersihan panel solar, ESSB juga sedang membangunkan keupayaan untuk menjadi pelabur, pembekal dan pemasang bumbung berkuasa solar. 

 

Dengan kekuatan tenaga kerja berpengalaman dan berkemahiran, ESSB yakin akan menjadi pesaing utama dalam industri tenaga boleh baharu, demi menjana pendapatan selain memberi impak positif kepada transformasi ekonomi Negeri Terengganu sambil mendukung rangka kerja amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) EPIC Berhad.- DagangNews.com