Epicon raih kontrak pembangunan Rumah Perakku bernilai RM89.1 juta di Kinta | DagangNews Skip to main content

Epicon raih kontrak pembangunan Rumah Perakku bernilai RM89.1 juta di Kinta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - Epicon Bhd menerusi Transnational Builder Sdn Bhd raih kontrak bernilai RM89.1 juta daripada Syarikat Majuperak Bhd bagi pembangunan Rumah Perakku di Sungai Terap, Kinta.

 

Menerusi kontrak itu, kumpulan itu akan terlibat dengan kerja-kerja pembinaan utama 601 rumah teres setingkat dan empat pencawang elektrik. 

 

"Tempoh kontrak adalah selama 30 bulan dijangka bermula pada 27 Mac 2024 dan siap pada 26 September 2026," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu tidak menjangkakan sebarang risiko daripada kontrak itu melainkan risiko biasa yang berkaitan selain risiko perniagaan dalam industri dan mereka akan mengambil langkah sewajarnya untuk meminimumkan kesannya.

 

Kontrak itu tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan kumpulan dan ke atas pegangan saham pemegang saham utama Epicon.

 

"Kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya.

 

"Selepas penganugerahan Kontrak baharu ini, jumlah buku pesanan tertunggak kumpulan meningkat kepada RM929 juta daripada RM840 juta yang dinyatakan sebelum ini," katanya. - DagangNews.com