EPS ATA IMS ditingkatkan hingga 30.7% | DagangNews Skip to main content

EPS ATA IMS ditingkatkan hingga 30.7%

ATA IMS Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Sept. - CGS-CIMB Research meningkatkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) syarikat perkhidmatan elektronik, ATA IMS Bhd. (ATA IMS) sebanyak 19.8% hingga 30.7% bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023.

Jelas CGS-CIMB Research, peningkatan itu dibuat berdasarkan kepada perkembangan positif yang dicapai syarikat berkenaan.

"Kami tingkatkan EPS ATA IMS itu seperti mana kami tingkatkan ramalan hasil syarikatnya melalui jumlah permintaan yang lebih baik daripada pelanggan terbesarnya serta sumbangan yang lebih tinggi daripada pelanggan baharunya.

"Kami juga menaikkan jangkaan margin operasi untuk pengoperasian yang lebih baik pada suku berikutnya," jelas CGS-CIMB Research.

ATA IMS mencatatkan penurunan dalam jumlah pendapatan syarikatnya sebanyak 11.0% pada suku pertama tahun kewangan 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Namun, jumlah tersebut meningkat 3.4% berbanding suku sebelumnya.

Bagaimanapun, syarikat tersebut mula mencatatkan pengukuhan pendapatan susulan pemulihan permintaan tinggi daripada pelanggan utamanya pada Mei dan Jun sekali gus mengimbangi jumlah kerugian yang dicatat pada April.

Selain itu, ATA IMS turut disokong oleh permintaan terhadap produk terbaharunya yang dilancarkan pada 2019 dan 2020 selain mendapat dua projek mesin pembuatan baharu yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Projek tersebut berpotensi menyumbang kira-kira RM600 juta dalam jumlah pendapatan tahunan syarikat.

Susulan prestasi positif itu, CGS-CIMB Research turut mengubah saranan daripada 'pegang' kepada 'tambah' saham syarikat berkenaan dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM1.80. - DagangNews.com