EPS FY21 Digi diunjur turun 3.0% | DagangNews Skip to main content

EPS FY21 Digi diunjur turun 3.0%

Digi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 April - Jangkaan perolehan sesaham (EPS) syarikat telekomunikasi, DiGi.com Berhad (Digi) diunjur susut 3.0% bagi tahun kewangan 2021 (FY21) berbanding tahun sebelumnya.

 

CGS-CIMB Research berkata, unjuran tersebut dinilai kepada pendapatan perkhidmatan yang rendah termasuk penurunan jumlah langganan migran serta persaingan yang sengit.

 

"Kami mengurangkan EPS bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 sebanyak 2.0% hingga 2.7% setelah membuat beberapa semakan. Dan selepas semakan semula, kami meramalkan EPS tahun kewangan 2021 menurun 3.0% tahun ke tahun.

 

"EPS berkenaan kemudiannya akan meningkat kepada 6.7%/9.5% tahun ke tahun pada tahun kewangan 2022/2023 hasil pemulihan perkhidmatan dan kecekapan kos.

 

"Seiring dengan itu, dividen sesaham (DPS) Digi bagi tahun kewangan 2021/2022 dan 2023 dijangka jatuh kepada 14.8sen/16.0sen dan 17.5 sen berdasarkan kepada nisbah pembayaran 100%," jelas CGS-CIMB Research.

 

Bagi suku pertama 2021, Digi mencatatkan penyusutan 20% keuntungan selepas cukai (PAT) kepada RM264.83 juta berbanding RM322.0 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Baca: Untung suku pertama Digi susut kepada RM265 juta

 

Digi berkata, penurunan tersebut diheret oleh perubahan 'mark-to-market' pada pertukaran kadar faedah susulan kerugian nilai saksama sebanyak RM22 juta yang dicatatkan pada suku pertama 2021.

 

Sementara itu, MIDF Research yang mengulas berkaitan dengan penggabungan Digi bersama Celcom memberitahu, pihaknya berpendapat penggabungan tersebut akan memberi keuntungan kepada Digi sekali gus mengukuhkan kedudukan Digi sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi terkemuka Malaysia.

 

"Kami berpendapat bahawa penggabungan tersebut akan memberi kesan positif terhadap prospek perniagaan Digi walaupun ia masih terlalu awal.

 

"Dengan mengambil kira semua faktor tersebut, kami mengekalkan saranan 'neutral' saham Digi dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM3.90," ujar MIDF Research. - DagangNews.com