Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Jangkaan perolehan sesaham (EPS) Syarikat KPJ Healthcare dikurangkan sebanyak 2.5% hingga 11.6% bagi tahun kewangan 2020 hingga 2022.
CGS-CIMB Research berkata, pengurangan tersebut dibuat berdasarkan kepada kesesuaian susut nilai dan andaian kadar cukai efektif syarikat berkenaan.
"Susulan pengurangan itu, kami kekalkan saranan 'tambah' pada stok dan harga sasaran saham (TP) yang lebih rendah iaitu 95 sen," kata CGS-CIMB Research.
KPJ Healthcare hanya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM50.3 juta pada suku pertama tahun kewangan 2020.
Jumlah tersebut adalah lebih rendah iaitu -39.6% berbanding tahun sebelumnya yang turut berada di bawah jangkaan konsensus dan Bloomberg.
Pendapatan untuk separuh pertama tahun kewangan 2020 juga menurun sebanyak 13.2% berbanding tahun sebelumnya yang didorong oleh prestasi pendapatan yang lemah pada suku kedua tahun kewangan 2020.
Jelas CGS-CIMB Research, prestasi kurang baik itu adalah disebabkan oleh jumlah lawatan pesakit yang berkurangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
"Sepanjang PKP, jumlah lawatan pesakit dan penghuni katil jatuh mendadak pada suku kedua tahun kewangan 2020.
"Kami dapati penghuni katil merosot kepada paras terendah 27% hingga 31% pada April dan Mei sebelum kembali pulih pada Jun sebanyak 39%. Jumlah tersebut adalah jauh di bawah kadar normal penghuni katil iaitu 67% pada akhir tahun kewangan 2019," tambah CGS-CIMB Research.
Bagaimanapun, pihak KPJ Healthcare mengumumkan pihaknya berjaya mencatatkan pemulihan dalam jumlah lawatan pesakit dan penghuni katil bermula pada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu.
"Pada Julai, jumlah penghuni katil meningkat kepada 49% dan jumlah lawatan pesakit kembali meningkat seperti Mac 2020 di samping peningkatan dalam jumlah pembedahan yang dijalankan KPJ Healthcare," kata CGS-CIMB Research. - DagangNews.com