Equinix buka pusat data di Kuala Lumpur pada suku pertama 2024 | DagangNews Skip to main content

Equinix buka pusat data di Kuala Lumpur pada suku pertama 2024

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jun - Syarikat infrastruktur digital tersenarai di Nasdaq, Equinix Inc (Equinix) merancang untuk membuka pusat data di Kuala Lumpur pada suku pertama tahun depan.

 

Ini merupakan pusat data keduanya di Malaysia susulan pengumumannya pada tahun lepas untuk mengembangkan operasi di negara ini dengan membuka pusat data di Johor.

 

Menurut syarikat itu, pusat data yang dinamakan KL1 itu akan dibangunkan di Cyberjaya, di mana ia akan menyediakan sejumlah 900 buah kabinet dan mempunyai ruang kolokasi seluas 2,630 meter persegi apabila siap sepenuhnya.

 

Presiden Equinix bagi Asia Pasifik, Jeremy Deutsch berkata syarikat itu telah menyaksikan Malaysia muncul sebagai lokasi yang semakin strategik untuk pembangunan infrastruktur digital global.

 

“Dengan pengembangan Platform Equinix di dua bandar paling strategik di Malaysia, kami dapat  membantu perniagaan dan syarikat multinasional beroperasi di Malaysia untuk memanfaatkan platform yang dipercayai untuk menyatukan dan menghubungkan infrastruktur asas bagi memperkasakan kejayaan mereka.

 

 

Jeremy Deutsch
Jeremy Deutsch

 

 

“Kami percaya kedua-dua pusat data tersebut akan memacu momentum pusat data sedia ada Equinix dan menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab sambungan yang dipacu secara digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Syarikat itu melihat Malaysia sebagai salah satu pasaran pusat data paling pesat berkembang di rantau ASEAN, didorong oleh pertumbuhan teknologi awan yang kukuh, penggunaan e-dagang dan pelaburan berterusannya dalam 5G, terutamanya di Johor dan Kuala Lumpur.

 

Equinix berkata pengembangannya dijangka menyediakan kapasiti infrastruktur digital lebih besar di Malaysia untuk menangani peningkatan permintaan daripada syarikat tempatan dan global yang berkembang di negara ini.

 

“Malaysia bakal memasuki fasa dua pelan tindakan ekonomi digital Malaysia, MyDIGITAL dan permintaan untuk infrastruktur digital dijangka kekal kukuh.

 

“Menurut Synergy Research, Malaysia sudah pun menjadi pasaran kolokasi pusat data ketiga terbesar di rantau ASEAN dan diunjurkan mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) kira-kira 11% dari tahun 2022 hingga 2027,” ujarnya.

 

Tambahnya, dengan pengalaman meluas dalam menyokong pembangunan 5G, kemudahan baharu Equinix menyasarkan untuk mempercepatkan visi digital seperti yang termaktub dalam MyDIGITAL bagi menjadikan Malaysia sebagai hab kolokasi di ASEAN dan kuasa ekonomi digital serantau. -DagangNews.com