Ericsson jadikan Malaysia sebagai hab pembuatan peralatan telekomunikasi 5G rantau Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

Ericsson jadikan Malaysia sebagai hab pembuatan peralatan telekomunikasi 5G rantau Asia Pasifik

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Julai - Ericsson Group berbesar hati selepas diberikan kesempatan untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menerangkan komitmen syarikat itu kepada Malaysia terutama dalam menjadikannya sebagai hab pembuatan peralatan telekomunikasi 5G di rantau Asia-Pasifik.

 

Presiden Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro berkata, Malaysia merupakan lokasi pertama di Asia Tenggara yang mengeluarkan peralatan 5G untuk pasaran domestik dan serantau dan pihaknya akan menghasilkan radio 5G tercanggih bermula suku ketiga tahun ini.

 

Beliau berkata, sokongan terhadap keputusan menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau adalah kerana negara ini memiliki tenaga kerja mahir dan infrastruktur yang kukuh.

 

Katanya, ia juga merupakan komitmen jangka panjang Ericsson kepada Malaysia termasuk rangkaian 5G yang pihak mereka sediakan.

 

"Selaras dengan perancangan pembuatan itu, Ericsson akan meningkatkan pelaburannya selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini.

 

BACA JUGA: Ericsson akui Malaysia mampu jadi perintis pembangunan prasarana, liputan rangkaian 5G - PM

 
"Bagi melengkapi segmen pembuatan itu ialah Pusat Pengedaran Serantau yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Pusat Penyelenggaraan dan Sokongan di Shah Alam yang akan membolehkan kami meningkatkan maklum balas dan penyampaian perkhidmatan sokongan kepada pelanggan di rantau Asia Pasifik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, sumbangan lain ialah Ericsson Educate dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk Malaysia, yang bertujuan membantu mendidik pelajar Malaysia mengenai 5G dan teknologi baharu yang lain.

 

Katanya, kerjasama itu dijangka mencecah sehingga 1,200 pelajar pada tahun pertama sahaja dan akan membolehkan pelajar UTM mengambil bahagian dan menyumbang kepada ekonomi digital negara dan transformasi Industri 4.0.

 

"Malahan, pusat inovasi pertama Malaysia untuk menyelidik dan menguji teknologi 5G telah ditubuhkan oleh Ericsson di UTM pada 2016," katanya. - DagangNews.com